KUALA LUMPUR 27 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan Ekonomi Madani menyasarkan untuk mencapai tujuh sasaran dalam tempoh 10 tahun, termasuk menurunkan defisit fiskal kepada 3% atau lebih rendah.
Sasaran lain adalah untuk Malaysia disenaraikan dalam kalangan 30 ekonomi terbesar selain berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global, meningkatkan peratusan pendapatan buruh kepada 45% daripada jumlah pendapatan,
Pada masa sama, meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60%, untuk meletakkan dalam 25 teratas Indeks Pembangunan Manusia, dan untuk menempatkan dalam 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah.
Perdana Menteri berkata, Ekonomi Madani adalah untuk membawa Malaysia menjadi peneraju ekonomi Asia dan bagi mencapai hasrat itu, struktur ekonomi perlu dirombak kerana antara isu yang membelenggu sistem ekonomi termasuk maslaah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya.
Beliau berkata, sektor pembuatan telah merosot di bawah paras 25% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang bakal diumumkan pada bulan hadapan akan memacu semula perindustrian dan memangkin ekonomi baharu.
"Dalam jangka masa pendek, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal dibentangkan di Parlimen akan memberi ruang untuk kerajaan membuat penilaian semula dan menyusun keutamaan, termasuk mengadun sebuah pertumbuhan jangka sederhana dengan dasar fiskal yang lebih mampan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu melaksanakan pembaharuan untuk menjadikan Malaysia sebagai antara 12 ekonomi terbaik dunia dari segi daya saing dan “ease of doing business” selain perlu dimaklumkan kepada semua bahawa Malaysia terbuka menerima kehadiran pelabur serta perniagaan.
Beliau berkata, setakat ini beberapa syarikat telah menzahirkan komitmen pelaburan antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng dan Samsung Engineering.
Katanya, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan lebih banyak pihak memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan termasuk memperkukuh agensi galakan pelaburan di bawah MIDA untuk menarik pelaburan dengan memudah cara urusan mereka.
"Mengkaji semula insentif pelaburan supaya tertumpu kepada galakan pelaburan yang menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta daripada sumber tempatan.
"Menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur, antaranya sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu dan ; pusat data di Sedenak, Johor dan industri hiliran getah di Kuala Nerang, Kedah.
"Sebagai permulaan, RM100 juta disediakan bagi usaha melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau," katanya.- DagangNews.com