Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2020 menguncup dengan ketara kepada 17.1%, namun Malaysia bakal menyaksikan ekonomi mengukuh menjelang tahun 2021.
Menurut laporan kajian Fitch Solutions Country Risk and Industry, pertumbuhan ekonomi Malaysia disemak semula kepada -4.5% pada 2020, menurun daripada angka sebelumnya, -2.8%.
Ramalan 2021 bagi KDNK Malaysia juga disemak semula kepada 5.7%, lebih positif berbanding 6.3%.
Menurut Kumpulan Fitch, pihaknya menyemak semula angka berkenaan berdasarkan KDNK Malaysia pada suku kedua, 17.1% atau bermula April hingga Jun berbanding tahun lalu, didorong oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dirujuk sebagai ‘penguncupan paling teruk dalam sejarah Malaysia’.
Dalam pada itu, Malaysia masih belum dapat bergantung kepada sektor pelancongan bagi membantu proses pemulihan ekonomi, dan itu merupakan faktor sekatan utama memandangkan sektor berkenaan menyumbang 11.5% kepada KDNK 2019.
“Sekatan perjalanan terus menjadi faktor utama memandangkan rundingan untuk membuka semula pelancongan dihadkan kepada perjalanan bisnes penting pada 2020 dengan kerajaan di Asia kebanyakannya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap perkara berkenaan,” jelas laporan tersebut.
Menyentuh mengenai kemerosotan tinggi dalam perbelanjaan sektor swasta sebanyak 2%, lebih tinggi berbanding ramalan (0.8%), laporan itu berkata, ia didorong oleh sekatan berterusan bagi perhimpunan dan pergerakan rakyat.
“Kemerosotan yang teruk pada suku kedua 2020 serta sekatan berterusan untuk perhimpunan dan pergerakan rakyat akan terus membebankan penggunaan swasta kerana pendapatan boleh guna menyusut dan pusat beli-belah serta tempat hiburan melihat trafik yang rendah,” tambah laporan berkenaan.
Secara domestik, Fitch menjangkakan pembentukan atau pelaburan modal tetap kasar akan lambat pulih kerana perniagaan akan terus mengalami kekurangan tunai sepanjang tahun ini kerana masalah aliran tunai.
Selain itu, penggunaan bagi sektor kerajaan pula mungkin tidak dapat mengatasi penurunan permintaan dalam negeri kerana kekangan fiskal dan pakej perbelanjaan yang agak sederhana yang diumumkan pada bulan Mac.
Bagi 2021, Malaysia mungkin melihat pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dengan sekatan yang dilaksanakan akan mula dilonggarkan.
“Kelonggaran sekatan akan menjadi jalan utama bagi penggunaan sektor swasta sekali gus mendorong pemulihan ekonomi pada 2021 yang bakal menyumbang kepada 5.4 mata peratusan daripada 6.3% yang diramalkan,” jelas laporan itu. - DagangNews.com