EKSKLUSIF: Kisah ngeri setahun diculik Abu Sayyaf | DagangNews Skip to main content

EKSKLUSIF: Kisah ngeri setahun diculik Abu Sayyaf

Oleh Furqan Durrahman

HAMPIR 10 tahun lalu, kisah seorang 'pedagang' cicak tokek, Mohd Nazarrudin Saidin pernah mengundang simpati rakyat negara ini.

Dalam tempoh lebih setahun atau secara tepatnya 378 hari, kehidupan bapa kepada enam anak itu bagai di hujung tanduk setelah diculik kumpulan pengganas selatan Filipina, Abu Sayyaf dan disembunyikan di gugusan kepulauan Mindanao.

Pengalaman dilaluinya itu setakat ini tidak pernah diceritakan kepada sesiapa secara terperinci dan terbuka. Malah dalam sidang akhbar selepas diselamatkan oleh bekas Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Azeez Rahim pada 15 Mei 2012 sekali pun, Mohd Nazarudin bagai mahu lekas-lekas membuka lembaran kehidupan baharu apabila enggan banyak mengulas mengenai perkara itu.

Mohd Nazarrudin Saidin
Mohd Nazarrudin Saidin memeluk isterinya setelah berjaya diselamatkan Azeez Rahim pada 15 Mei 2012.


Namun kini setelah lapan tahun berlalu, lelaki berusia 47 tahun itu akhirnya bersetuju untuk menceritakan apa yang sebenarnya dilalui sepanjang berada di bawah tahanan kumpulan Abu Sayyaf secara eksklusif kepada DagangNews.com.

Menurutnya, dia bersama seorang rakan berasal dari Sabah dan dikenali sebagai 'Abdul' terbang ke Manila dan menaiki feri untuk ke Mindanao pada pertengahan tahun 2011 bagi mencari cicak tokek bersaiz besar untuk didagangkan.

"Peranan kami lebih kepada orang tengah di mana permintaan pada masa itu agak tinggi dan negara jiran itu terkenal kerana memiliki cicak tokek bersaiz besar. Jadi kami berdua berangkat ke Filipina untuk mencari haiwan tersebut.

Tokek
Inilah rupa cicak tokek yang banyak di selatan Filipina.


"Satu malam iaitu setelah kira-kira dua minggu di negara itu, rumah anak saudara Abdul yang kami tumpang untuk berteduh didatangi oleh enam lelaki. Mereka hadir kira-kira pukul 2 pagi dengan membawa senjata AK47, mengetuk pintu secara kasar sebelum memecahkannya untuk masuk ke rumah," katanya.

Dia sedang tidur ketika rumah tersebut diserbu dan sukar untuk memahami apa yang berlaku kerana masing-masing bercakap dalam bahasa asing.

"Dalam keadaan terpinga-pinga, saya terkejut apabila salah seorang daripada anggota kumpulan itu yang mengaku pernah bekerja di Sabah, bercakap dengan saya menggunakan Bahasa Melayu. Seorang rakannya yang lain pula menggari tangan saya manakala anggota kumpulan lain mengambil barang-barang yang kami bawa," katanya.

Hanya Mohd Nazarrudin yang digari dan dibawa keluar dari rumah itu sebelum kemudiannya disuruh berjalan kaki ayam selama lebih tiga jam menuju ke lokasi tidak diketahui.

"Perjalanan itu terasa cukup panjang di mana saya dibawa mendaki bukit, meredah sungai dan melalui denai tanpa berkasut atau berselipar dalam keadaan tangan bergari. Hinggalah kami sampai ke sebuah lokasi di mana saya ditempatkan dalam sebuah pondok buluh dan gari dibuka untuk membenarkan saya solat subuh," ujarnya.

Dia kemudiannya 'disoal siasat' terutama mengenai tujuan kehadirannya ke negara tersebut.

Tuntut 80 juta peso

"Setelah mendapatkan maklumat dikehendaki, anggota kumpulan tersebut menelefon rakan saya di Kuala Lumpur yang nombornya mereka temui dalam telefon bimbit saya. Saya dengar perbualan itu di mana mereka meminta jumlah tebusan sebanyak 80 juta peso (RM5.6 juta pada waktu itu) kerana menyangkakan saya ini orang kaya disebabkan terlibat dalam perniagaan cicak tokek," katanya.

Mohd Nazarrudin yakin bahawa rakannya itu yang membuat laporan polis di tanah air mengenai apa yang berlaku terhadap dirinya.

"Selepas itu, saya terus ditempatkan dalam pondok kecil tersebut. Hanya selepas beberapa hari, barulah gari itu dibuka namun saya tetap tidak dibenarkan keluar dari pondok.

"Mereka kata, saya akan dibunuh sekiranya tuntutan kumpulan itu tidak dipenuhi dan tiada apa yang boleh saya lakukan selain bertawakal," katanya.

Dalam tempoh lebih setahun ditahan,dia kerap dibawa berpindah dari satu pulau ke satu pulau lain, untuk menyukarkan daripada dikesan pihak berkuasa Filipina.

Pergerakan mereka kerap pada waktu malam menaiki bot kecil yang hanya mampu memuatkan cukup-cukup lima orang dengan ada antara perjalanannya memakan masa berjam-jam.

"Di mana saja saya dibawa, sentiasa akan terdengar bunyi tembakan mahu pun letupan hampir setiap hari. Nyawa memang dirasakan bagai di hujung tanduk tetapi tiada apa yang boleh dilakukan kerana sentiasa berada dalam kawalan mereka.

Melarikan diri

"Pernah juga saya melarikan diri tetapi tak mampu ke mana-mana kerana orang mereka ada di mana-mana selain berada di pulau yang dikelilingi lautan dalam. Akhirnya saya mengalah dan kembali kepada kumpulan itu kerana kekurangan makanan dan tidak berdaya," katanya.

Mohd Nazarrudin Saidin
Keratan akhbar mengenai kepulangan Mohd Nazarrudin Saidin disambut ahli keluarganya.


Setelah enam atau tujuh bulan berada dalam kurungan pengganas Abu Sayyaf, Mohd Nazarrudin mengakui beliau sudah tidak menaruh harapan untuk diselamatkan.

"Saya tidak pernah lihat mayat atau berada di tengah-tengah situasi pertempuran semasa berada di sana. Tetapi saya sentiasa ditunjukkan dengan pelbagai video serta gambar mengenai apa yang pernah terjadi di sana.

"Ada video manusia disembelih hidup-hidup, ditembak dan macam-macam lagi. Saya sering diingatkan bahawa nasib saya juga mungkin akan jadi seperti itu dengan kepala saya dipenggal jika wang tebusan tersebut tidak dibayar.

"Disebabkan itu, saya memang tidak pernah terfikir yang saya akan selamat..." katanya.

Mohd Nazarrudin Saidin
GAMBAR terbaharu Mohd Nazarrudin Saidin. - DagangNews.com


Ikuti Bahagian Kedua wawancara eksklusif DagangNews.com bersama Mohd. Nazarrudin mengenai detik-detik diselamatkan dari tangan pengganas Abu Sayyaf.