[EKSKLUSIF] Reformasi ekonomi langkah terbaik perbaiki nilai Ringgit – Pakar Ekonomi  | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Reformasi ekonomi langkah terbaik perbaiki nilai Ringgit – Pakar Ekonomi 

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Langkah terbaik untuk memperbaiki nilai matawang kita adalah dengan cara melaksanakan reformasi ekonomi yang akan menjadikan ekonomi negara lebih berdaya saing, menurut Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat. 

 

Selain memanfaatkan banyak pihak, beliau berkata ekonomi negara akan tumbuh pada kadar yang mampan.  

 

Menurut Dr Mohd Afzanizam, reformasi ekonomi ini lebih bersifat jangka panjang dan memerlukan stamina untuk dilaksanakan. 

 

Beliau berkata demikian kepada DagangNews.com ketika diminta berkongsi pendapat mengenai prestasi ringgit yang lemah berbanding dengan mata wang Amerika Syarikat sejak akhir ini. 


 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
                    Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 


Pakar ekonomi Bank Muamalat itu berkata  pergerakan nilai ringgit kebiasaannya dipengaruhi oleh faktor jangka pendek seperti jangkaan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, turun naik harga komoditi dan juga perkembangan geopolitik.  

 

“Faktor jangka panjang pula adalah berkaitan dengan prestasi ekonomi yang dapat kita perhatikan melalui pergerakan imbangan dagangan.  

 

“Sebagai contoh, saban tahun negara kita mengimport makanan daripada negara luar bagi memenuhi keperluan domestik,” kata Dr Mohd Afzanizam.  

 

Menurut beliau, perkara ini telah mengakibatkan defisit dagangan dalam sektor agro makanan yang kian melebar.  

 

Pada tahun 2022, imbangan dagangan defisit dalam sektor agro makanan adalah RM29.0 billion dan angka ini kian melebar jika dibandingkan pada tahun 1990 yang mana lebihan dagangan yang dicatatkan adalah RM861 juta.  

 

Selain itu katanya, pampasan kepada pekerja atau Compensation for Employees menunjukan trend imbangan defisit yang kian berterusan iaitu RM7.24 billion pada tahun 2022 berbanding defisit sebanyak RM0.53 billion pada tahun 2005. 

 

“Di samping itu, pelabur asing dilihat terus mencatatkan jualan bersih pada separuh tahun pertama 2023 iaitu RM4.2 billion.  

 

“Pada tahun lalu, pelabur asing mencatatkan belian bersih sebanyak RM4.3 billion, “ kata Dr Mohd Afzanizam.  

 

Namun, semenjak tahun 2018, para pelabur asing sentiasa mencatatkan jualan bersih dalam pasaran saham.  

 

“Justeru, berdasar angka-angka ini, boleh kita rumuskan bahawa terdapat aliran wang keluar dari negara yang menyebabkan matawang kita menjadi lemah,” jelas beliau.  

 

Oleh yang demikian, langkah terbaik untuk memperbaiki nilai ringgit adalah dengan cara melaksanakan reformasi ekonomi.  

 

Sehubungan dengan itu, konsistensi dalam penggubalan dan perlaksanaan dasar adalah penting bagi membina kredibiliti.

 

“Jika ini dapat dilakukan sudah pasti nilai ringgit akan kembali pulih,” tegas Dr Mohd Afzanizam. 


 

parafrasa

 


Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis apabila mata wang AS itu mengukuh susulan minit mesyuarat terbaharu daripada mesyuarat Rizab Fed membayangkan kemungkinan kenaikan lagi kadar faedah di negara itu. 

 

Pada Khamis, ringgit menyusut kepada 4.6580/6630 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6485/6555 pada Rabu. - DagangNews.com