Fasa kedua liberalisasi insurans motor mungkin dilanjutkan lagi - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Fasa kedua liberalisasi insurans motor mungkin dilanjutkan lagi - AmInvest

Pada 1 Julai 2017, Bank Negara Malaysia melaksanakan langkah liberalisasi tarif insurans motor dengan memperkenalkan penetapan harga fleksibel.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - AmInvestment Bank Research menjangkakan fasa kedua liberalisasi insurans motor  mungkin dilanjutkan lagi disebabkan pandemik COVID-19 yang masih berpanjangan. 

 

Sebelum ini, firma itu memaklumkan pelaksanaan fasa tersebut telah ditangguhkan sehingga 31 Disember 2021. 

 

"Pelaksanaan fasa kedua ini akan menyaksikan tekanan berterusan bagi harga produk motor dan kebakaran yang semakin kompetitif bagi pengendali insurans dan takaful. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan ia hanya akan dilaksanakan apabila pandemik ini dapat dibendung dan sebahagian besar penduduk telah menerima vaksin," menurut penganalisisnya, Kelvin Ong dalam laporan tematik hari ini.

 

Secara dasarnya, fasa pertama Liberalisasi Tarif Motor dan Tarif Kebakaran telah diperkenalkan pada 1 Julai 2016. 

 

Semasa fasa permulaan ini, penanggung insurans dan pengendali takaful diberikan fleksibiliti untuk menawarkan produk baharu motor dan perlindungan tambahan yang tidak ditetapkan di bawah tarif sedia ada.

 

Susulan itu, bermula pada 1 Julai 2017, Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan langkah liberalisasi
tarif insurans motor dengan memperkenalkan penetapan harga fleksibel untuk produk insurans kenderaan komprehensif, insurans kebakaran dan kecurian kenderaan.

 

Liberalisasi insurans motor bermaksud harga produk insurans motor tidak akan lagi ditentukan berdasarkan Tarif Motor (senarai harga yang telah ditetapkan), sebaliknya harga produk insurans motor akan ditentukan oleh setiap penanggung insurans dan pengendali takaful.

 

Menurut Kelvin, harga insurans motor dan kebakaran dilihat kekal kompetitif pada separuh kedua 2021.

 

Katanya, pemulihan bagi pertumbuhan premium syarikat pengendali insurans dan takaful juga kekal tidak sekata dalam tempoh berkenaan disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan untuk membendung penularan wabak ini. 

 

"Kami melihat pertumbuhan premium bagi suku ketiga masih mencabar yang akan mempengaruhi jualan kenderaan. 

 

"Pada masa sama, sentimen pembeli rumah yang lembap turut menjejaskan jualan hartanah dalam masa terdekat," jelasnya.

 

Insurans motor dan kebakaran merupakan segmen terbesar dalam portfolio pengendali insurans dan takaful.

 

Namun, jualan bagi insurans hayat dilihat masih mencabar pada masa akan datang ekoran situasi pandemik yang masih berterusan. 

 

Bagaimanapun, menurut beliau,  premium bagi pengendali insurans dan takaful akan bertambah baik menjelang suku keempat 2021. 

 

"Ini didorong oleh pembukaan semula ekonomi dan sekatan pergerakan yang dilonggarkan dengan kadar vaksinasi semakin meningkat bagi sektor berkaitan pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari serta pelbagai sektor di bawah Pelan Pemulihan Negara mulai 16 Ogos lalu," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor insurans dengan melihat syarikat insurans dengan penguasaan pasaran yang kukuh mampu berdepan tekanan harga yang kompetitif.

 

Firma itu melihat Allianz Malaysia memiliki kedudukan pasaran yang kukuh memandangkan ia merupakan syarikat insurans terbesar bagi motor dan mempelbagaikan asas pendapatannya.

 

Selain itu, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga juga mempunyai prestasi yang baik bagi perniagaan takaful keluarga dan am. - DagangNews.com