Fenomena El Nino diunjur bantu harga minyak sawit mentah berada antara RM3,800 hingga RM4,200 setiap tan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Fenomena El Nino diunjur bantu harga minyak sawit mentah berada antara RM3,800 hingga RM4,200 setiap tan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Fenomena El Nino diunjur menjadi pemangkin kepada harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi pada paras antara RM3,800 hinggan RM4,200 bagi setiap tan.

 

MIDF Research berkata, fenomena iklim seperti El Nino/La Nina boleh mengubah situasi bekalan-permintaan dan mencetuskan pergerakan harga utama, namun terdapat sedikit kelewatan dalam ketibaan cuaca kering.

 

Pakar meramalkan El Nino yang sederhana kuat bermula 23 Ogos 2023 hingga 24 Mac 2024 (peluang +95%).

 

Selain itu, terdapat tanda-tanda awal kekeringan telah dikesan di bahagian Indonesia – Kalimantan pada Ogos lalu disebabkan oleh El-Nino.

 

"Ia akan menyebabkan harga MSM bergantung pada harga yang tinggi untuk 2023 dan 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research bagaimanapun bimbang terhadap prospek permintaan yang rapuh kesan daripada tekanan inflasi yang kembali di samping perbelanjaan isi rumah yang ketat pada kadar faedah asas yang tinggi di peringkat tempatan dan global.

 

Tambahan pula, stok penutup minyak sawit tahun sehingga kini di negara pengimport utama masih berada pada tahap tinggi, seperti India (+76.6%), China (+100%), Pakistan (+69.8%) dan Bangladesh (+ 100%).

 

"Oleh itu, kami menjangkakan permintaan akan menjadi perlahan pada separuh kedua 2023," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selepas mempertimbangkan semua faktor, pihaknya mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dengan harga sasaran MSM pada paras RM3,500 satu tan bagi 2023.

 

Pilihan utama firma itu adalah Kuala Lumpur Kepong (KLK) dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM24.60 sesaham. - DagangNews.com