Firma Singapura beli 28.5% kepentingan dalam MClean Technologies Malaysia | DagangNews Skip to main content

Firma Singapura beli 28.5% kepentingan dalam MClean Technologies Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun -  MClean Technologies Bhd memeterai perjanjian jual beli bagi melupuskan lebih 56.3 juta atau 28.53% saham kepada firma Singapura Accrelist Ltd.

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Accrelist, Datuk Dr. Terence Tea Yeok Kian berkata, langkah itu menekankan keyakinannya terhadap hala tuju perniagaan serta prospek pertumbuhan, terutamanya dalam permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan pemacu cakera keras (HDD), berikutan peningkatan ketara dalam permintaan untuk pusat data.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat estetik yang tersenarai di Catalist Board of Singapore Exchange (SGX) berkata, pemerolehan itu adalah bersyarat.

 

MClean telah meletakkn dirinya sebagai pemain penting dalam industri rumsan pembersihan produk elektronik dan semikonduktor.

 

Beroperasi di Malaysia, Singapura dan Thailand, syarikat itu menawarkan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif, termasuk perkhidmatan rawatan permukaan, pembersihan ketepatan, steril dan pembungkusan bagi pelbagai industri seperti HDD, elektronik pengguna, serta minyak dan gas.

 

mclean
Datuk Dr. Terence Tea Yeok Kian

 

"Kehadiran MClean dalam industri penyelesaian HDD meletakkannya dengan baik bagi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data," kata Terence.

 

Malaysia menyaksikan pelaburan pusat data yang ketara, dengan Johor muncul sebagai pasaran pusat data terbesar di negara ini, tambahnya.

 

“Johor bersedia untuk menarik RM17 bilion dalam pelaburan pusat data baharu pada tahun ini sahaja, menurut laporan berita oleh New Straits Times, didorong oleh syarikat multinasional yang mengambil kesempatan daripada lokasi strategiknya dan kos operasi yang lebih rendah.

 

"Pemain utama seperti Nvidia, AirTrunk dan Microsoft sedang menubuhkan pusat data di rantau ini, meningkatkan lagi permintaan untuk penyelesaian HDD," tambah Terence.

 

Berikutan pengambilalihan itu, sinergi antara Jubilee, anak syarikat Accrelist, dan MClean Technologies akan membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam mencipta peluang jualan silang serta meningkatkan asas pelanggan kedua-dua entiti.

 

Accrelist menekankan bahawa ia dijangka memacu pertumbuhan dan menyediakan penyelesaian komprehensif kepada pasaran yang lebih luas, mengukuhkan lagi kehadiran Jubli dalam sektor elektronik dan semikonduktor, terutamanya dalam sektor ruang penyimpanan.- DagangNews.com