Fitch turunkan penarafan Malaysia, ringgit kembali lemah | DagangNews Skip to main content

Fitch turunkan penarafan Malaysia, ringgit kembali lemah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Fitch Ratings, Jumaat lalu yang menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada 'BBB+' dari 'A-' menyaksikan ringgit kembali diniagakan rendah pagi ini. 

 

Mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.0830/0880 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), setelah melantun daripada RM4.0580/0620 pada penutupan Jumaat. 

 

Ringgit disokong kenaikan harga minyak mentah susulan keputusan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) yang dicapai Khamis lalu.

 

Menurut HLIB Research, walaupun Fitch mengumumkan penarafan itu selepas pasaran ditutup, tetapi ia memberi tekanan kepada ringgit dalam dagangan hari ini. 

 

"Ini akan menyaksikan ringgit mungkin kembali kepada paras antara RM4.07 hingga RM4.08," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Agensi penarafan antarabangsa itu dalam kenyataan Jumaat lalu berkata, penurunan nilai IDR disebabkan krisis COVID-19 yang telah menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia. 

 

Ini termasuklah langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

 

Susulan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melahirkan rasa kecewanya terutama ketika negara berdepan tempoh luar biasa pada masa ini memandangkan penularan wabak masih lagi belum reda.

 

Menerusi penurunan penarafan itu, hutang kerajaan dijangka melonjak kepada 76% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2% pada 2019.

 

Menurut AmBank Research, kali terakhir Malaysia diberi penarafan BBB+ dengan prospek stabil adalah pada April 2004.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0448 dan RM4.0544 manakala paras rintangan antara RM4.0681 dan RM4.0745.  

 

"Dolar AS susut 0.01% kepada 90.701, paras terendah sejak April 2018 disebabkan data pasaran buruh yang mengecewakan meningkatkan keyakinan terhadap rangsangan fiskal kerajaan," katanya. - DagangNews.com