Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Penganalisis mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Sunway Group berikutan kejayaannya mengambilalih pembangunan Flynn Park di Singapura.
Semalam, Sunway mengumumkan syarikat usaha samanya dengan pemaju Singapura, Hoi Hup Realty memenangi bidaan yang kompetitif bagi pengambilalihan en-bloc pembangunan kondominium Flynn Park melibatkan tawaran bernilai SGD371 juta (RM1.15 bilion) pada 9 September lalu.
Syarikat usaha sama itu terdiri daripada Hoi Hup yang memiliki pegangan 70% dan Sunway Development Pte Ltd. pula 30%.
Sunway berhasrat untuk membangunkan semula kawasan itu kepada kondominium moden persendirian dengan memanfaatkan kedudukannya yang strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan.
Baca : Sunway-Hoi Hup menang bidaan Flynn Park dengan tawaran hampir RM1.15 bilion
AmInvestment Bank Research melihat perkembangan itu adalah positif sekali gus meningkatkan pendapatan bagi segmen pembangunan hartanah Sunway di Singapura.
Katanya, melalui urus niaga terbaharu ini, projek Sunway di negara tersebut terdiri daripada 47% baki nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek antarabangsa, yang merangkumi 9% daripada keseluruhan nilai pembangunan kumpulan berjumlah RM54 bilion.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran kami setakat ini sementara menantikan pelancaran projek ini yang disasarkan pada 2023. Tambahan pula, tempoh masa bagi projek ini disiapkan juga masih tidak menentu ketika ini.
"Dalam pada itu, kami menganggarkan gearan bersih Sunway bagi tahun kewangan 2021 akan meningkat sedikit daripada 47% kepada 50%," jelasnya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli', tetapi menyemak semula nilai saksama kepada RM2.19 sesaham berbanding RM2.20 sesaham sebelum itu.
Kos pengambilalihan itu yang diterjemahkan kepada S$1,355 kaki persegi berdasarkan nisbah plot 1.4 dan menunjukkan nisbah kos kepada GDV yang munasabah sebanyak 49%.
"Berdasarkan semakan kami, potensi keuntungan margin adalah berpatutan dengan mengambil kira tanah di Pasir Panjang itu yang ditawarkan pada harga S$1,048 hingga S$3,000 kaki persegi ketika ini," tambahnya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research agak positif dengan cadangan pembangunan ini memandangkan GDV kumpulan dijangka hanya meningkat kira-kira 2% kepada RM38.2 bilion.
"Bagi kos pengambilalihan itu yang menunjukkan pengurangan 24% daripada harga jualan semasa bagi kondominium persendirian Ki Residence di Clementi Park, Singapura, dilihat adil memandangkan akan ada kos tambahan untuk merobohkan kondominium sedia ada dan membangunkannya semula dengan kondominium baharu," katanya.
Dari segi impak gearan, firma itu melihat ia tidak berubah pada 0.57x kerana membabitkan syarikat usaha sama dengan Sunway memiliki 30% pegangan.
"Setakat ini, kami mengekalkan unjuran kami sementara menanti butiran terperinci mengenai pembangunan projek ini.
"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Sunway dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.58," jelasnya.
Menurut firma itu, saham Sunway dilihat sebagai pemilihan yang baik ke arah pemulihan ekonomi kerana memiliki pendedahan perniagaan yang luas terutama menerusi operasi hartanah, pembinaan dan bahan binaan yang bersepadu serta mengukuhkan kedudukan dalam segmen penjagaan kesihatan. - DagangNews.com