FMM rayu kerajaan pertimbang moratorium surcaj ICPT | DagangNews Skip to main content

FMM rayu kerajaan pertimbang moratorium surcaj ICPT

KUALA LUMPUR 16 Jun - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan dapat mempertimbang rayuannya terhadap moratorium Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh separuh kedua 2022.

 

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, permohonan itu adalah bagi lanjutan sehingga sekurang-kurangnya separuh pertama 2023 ekoran persekitaran yang sangat mencabar ketika ini.  

 

Beliau berkata, permintaan itu dibuat selepas mengambil kira kelewatan enam bulan impak harga bahan api terhadap tarif elektrik terutama arang batu dan gas asli yang tidak berkurangan ke tahap pra-COVID-19.

 

Ia berpunca daripada  gangguan utama pasaran minyak serantau dan wilayah serta ketidaktentuan akibat konflik Rusia-Ukraine.

 

“Pengilang tempatan sedang berdepan tekanan hebat untuk mengawal kenaikan kos berikutan tekanan inflasi yang tinggi, kenaikan kadar gaji minimum, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pengangkutan, gangguan rantaian bekalan global serta penyusutan ringgit.

 

“Kemampuan pengilang untuk menyerap kos operasi yang tinggi dalam tempoh tidak menentu sekarang adalah amat terhad. 

 

"Ini boleh memberi kesan terhadap barangan pengguna sekiranya tiada bantuan diterima bagi membantu menangani beberapa kos input besar seperti tenaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sehubungan itu, Thian Lai berkata, FMM mencadangkan supaya surcaj yang terakru dalam tempoh cadangan moratorium itu dibahagikan dalam beberapa kitaran semakan semula tarif atau diimbangi terhadap rebat bagi semakan seterusnya jika ada atau sehingga ia kembali normal. - DagangNews.com