Fokus perkukuh fiskal selepas ekonomi pulih - Kementerian Kewangan | DagangNews Skip to main content

Fokus perkukuh fiskal selepas ekonomi pulih - Kementerian Kewangan

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. -  Kerajaan bakal melaksanakan semula langkah konsolidasi atau lebih difahami sebagai memperkukuh fiskal apabila ekonomi negara pulih. 

 

Konsolidasi fiskal bermaksud pelaksanaan dasar yang kukuh untuk mengurangkan defisit dan hutang terkumpul kerajaan. 

 

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, ketika ini kerajaan menumpukan aspek pemulihan ekonomi yang bertujuan memelihara kesejahteraan rakyat selain menyokong aktiviti perniagaan memandangkan pandemik COVID-19 masih berlanjutan. 

 

Setelah ekonomi pulih, kerajaan bakal memastikan paras pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan Persekutuan kekal terkawal dan terurus. 

 

“Langkah tersebut termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta peningkatan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal kerajaan.

 

“Oleh yang demikian, keperluan pinjaman kerajaan akan dapat dikurangkan dan seterusnya ini akan dapat mengawal pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau menjawab soalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mengenai kedudukan hutang semasa negara dan nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Setakat penghujung September 2020, Malaysia mencatatkan kira-kira RM1.257 trilion atau 87.3% pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan daripada KDNK. 

 

Hutang kerajaan Persekutuan pula merekodkan RM874.3 bilion atau 60.7% daripada KDNK setakat tempoh sama. 

 

Bagaimanapun, nisbah hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 56.6 % daripada KDNK berdasarkan pengiraan had statutori.

 

Nilai itu kurang daripada had 60% yang ditetapkan sebelum ini.

 

Sehubungan itu, Mohd. Shahar berkata, kerajaan komited untuk memastikan pembiayaan semula hutang kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara teratur mengikut jadual. - DagangNews.com