KUALA LUMPUR 28 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan langkah menjadikan Forst City sebagai zon kewangan khas (SFZ) akan meningkatkan potensi pembangunan di barat daya Johor.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah strategik itu bukan sahaja memupuk kepelbagaian ekonomi tetapi mengimbangi pertumbuhan di kawasan berlainan di Iskandar Malaysia selain menawarkan potensi penciptaan pekerjaan yang besar serta meningkatkan daya tarikan pelaburan di kawasan itu.
Katanya, pemaju hartanah tempatan yang memberi tumpuan kepada pembinaan hartanah mampu milik dijangka terus mendapat manfaat daripada kesan limpahan SFZ.
"Kami positif terhadap inisiatif terbaharu ini kerana SFZ berpotensi untuk menarik peningkatan jumlah dana keluarga China yang mencari alternatif yang lebih berpatutan di rantau ini, selain Singapura.
"Selain itu, SFZ juga boleh mendapat manfaat daripada kesan limpahan inisiatif Singapura untuk membangunkan Tasik Jurong sebagai Daerah Pusat Perniagaan (CBD) kedua.
"Lebih penting lagi, langkah mewujudkan SFZ di Forest City akan membantu mengimbangi pertumbuhan ekonomi di barat daya Johor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pada masa ini, aktiviti perniagaan tertumpu di CBD Johor, yang akan dirangsang lagi oleh JB-SG RTS yang akan datang manakala wilayah tenggara dipacu oleh aktiviti minyak & gas.
Kerajaan akan mewujudkan SFZ di kawasan Forest City di Iskandar Puteri bagi merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.
Walaupun inisiatif SFZ menawarkan potensi yang besar, rangkaian pengangkutan dan infrastruktur yang cekap yang ditawarkan oleh Forest City adalah penting untuk menarik pelabur.
Firma penyelidikan itu kekal neutral terhadap sektor itu. - DagangNews.com