PETALING JAYA 21 Julai - Fundaztic, satu platform pembiayaan peer-to-peer (P2P) melancarkan pasaran sekunder mereka secara rasmi, yang menawarkan lebih daripada 20,000 ahli Fundaztic peluang untuk memperdagangkan Nota pelaburan antara satu sama lain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kristine Ng, dengan itu ia membolehkan ahli Fundaztic melaras semula strategi portfolio mereka dan meningkatkan fleksibiliti dalam pengurusan aliran tunai mereka.
Dalam keadaan ekonomi semasa ujr beliau, pengenalan pasaran sekunder sangat relevan bagi pelabur yang ingin menjual Nota pelaburan mereka untuk memenuhi keperluan aliran tunai mereka dan kepada pelabur yang mungkin ingin membina portfolio yang lebih luas dan berpotensi menjana pulangan pelaburan yang lebih lumayan.
"Kami sudah lama bersiap sedia untuk pasaran sekunder ini dan dengan itu, berasa gembira apabila garis panduan untuk Pasaran Sekunder P2P diumumkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada pertengahan April 2020.
``Dan sejak itu, telah berusaha tanpa henti untuk memastikan bahawa sistem yang direka khas ini tidak hanya mematuhi garis panduan tetapi, juga selamat di samping mesra pengguna kepada ahli kami, "kata Kristine dalam kenyataan di sini hari ini.
Setiap ahli di Fundaztic layak untuk mengambil bahagian dalam Pasaran Sekunder. Nilai dagangan Nota pelaburan di Pasaran Sekunder akan berdasarkan kepada baki modal yang dilabur keatas Nota-nota pelaburan yang dipilih untuk diperdagangkan ("selling").
Jumlah baki modal Nota-nota pelaburan yang dipilih untuk “dijual” atau “dipindah hak” mestilah sekurang-kurangnya RM5,000. Pelabur boleh memilih untuk "menjual" sama ada nota tunggal (misalnya 1 Nota dengan baki modal RM5,000) atau beberapa Nota (misalnya 50 Nota dengan baki modal RM100 setiap satu) untuk digabungkan sebagai portfolio terpilih untuk dijual sama ada pada kadar premium atau diskaun yang ditetapkan oleh ahli sendiri.
"Sebab utama mengapa keseimbangan atau kadar tersebut ditetapkan adalah untuk memastikan bahawa nilai urus niaga itu bermakna bagi kedua-dua pihak iaitu para penjual dan pembeli.
PASARAN SEKUNDER
``Keputusan untuk menetapkan kadar ini adalah berdasarkan premis bahawa Pasar Sekunder merupakan suatu platfom baru untuk para pelabur menamatkan pelaburan mereka and mendapat pulangan baki modal sebelum tempoh pembiayaan Nota-nota yang dilabur mereka tamat,’’ kata beliau lagi.
``Ini bermakna, urus niaga penjualan Nota-nota pelaburan dalam Pasaran Sekunder ini harus dapat memenuhi keperluan untuk mendapat semula baki modal yang telah dilabur sebagai dana kecemasan atau keperluan yang lain.
``Pada masa yang sama, menerusi Pasaran Sekunder ini, para pelabur yang baru dapat membina portfolio yang berdaya tahan dengan lebih cepat dan secara langsung mengurangkan risiko pelaburan juga, ”jelas Kristine.
Tempoh purata Nota-nota pelaburan yang dihoskan oleh Fundaztic adalah kira-kira 30 bulan. Pelancaran Pasaran Sekunder ini memberi peluang kepada pelabur untuk menjual Nota-nota pelaburan mereka lebih awal daripada tempoh akhir pelaburan, dan ini akan meningkatkan fleksibiliti atau kecairan pelaburan di platfom P2P Fundaztic.
Seterunya, pelabur berpotensi untuk memperoleh hasil pulangan pelaburan yang lebih lumayan di samping memberikan peluang untuk menguruskan portfolio mereka dengan lebih baik.
Fundaztic merupakan satu daripada enam platform kewangan P2P yang diiktirafkan sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) untuk pembiayaan P2P oleh SC pada tahun 2017.
Platfom ini mula beroperasi secara langsung pada 7 Julai 2017 dan baru sahaja merai ulang tahun ke-3 dengan jumlah pembiayaaan melebihi RM82 juta yang telah disasarkan kepada lebih daripada 1,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berlainan.
Platfom ini telah memberikan purata pulangan pelaburan kepada para pelabur sekitar 23% setelah menolak nilai pembayaran ingkar yang berjumlah lebih kurang 4% setahun. Pada masa kini, terdapat sejumlah 11 platform yang didaftarkan sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) oleh SC. – DagangNews.com