KUALA LUMPUR 12 Julai - Anak syarikat G3 Global Bhd, Atilze Digital Sdn Bhd telah dianugerahkan hak eksklusif melaksanakan projek pembinaan Asrama Pekerja Migran Bersepadu Nasional (NiMWD) untuk kerajaan Maldives di bawah konsesi 30 tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) tersebut berkata, ia menerima Surat Anugerah daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Teknologi Maldives.
Tempoh konsesi bagi projek bermula pada tempoh awal 30 tahun dari tarikh pengeluaran pajakan tanah dengan lanjutan automatik tempoh tambahan selama 30 tahun.
Skop kerja untuk pekerjaan itu termasuk melaksanakan sistem NiMWD, platform digital yang bertujuan untuk mengawasi dan mengurus penginapan dan kebajikan semua pekerja asing di Maldives.
Sementara itu, G3 Global juga akan membina dan mengendalikan pengurusan asrama dan integrasi teknologi projek itu berdasarkan model perkongsian swasta-awam, dengan 100% inisiatif kewangan swasta dan perkongsian hasil antara kerajaan Maldives dan syarikat itu.
G3 Global kata, majikan di Maldives akan dicaj AS$100 bagi setiap pekerja asing sebulan untuk tahun pertama, selepas itu ia akan dinaikkan kepada AS$120 sebulan, yang mana AS$5 akan disalurkan kepada kerajaan.
Yuran akan tertakluk kepada semakan berkala, kata G3 Global. - DagangNews.com