Gabungan dengan Eco World beri kelebihan besar buat UEM Sunrise | DagangNews Skip to main content

Gabungan dengan Eco World beri kelebihan besar buat UEM Sunrise

UEM Sunrise

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt.- Cadangan penggabungan antara anak syarikat Kumpulan UEM Berhad iaitu UEM Sunrise dan Kumpulan Eco World Development Berhad memberi peluang besar kepada UEM Sunrise.

MIDF Research berkata, penggabungan itu membolehkan UEM Sunrise memanfaatkan kepakaran Eco World dalam aspek pemasaran dan penjenamaan.

"Kami berpendapat penggabungan yang dicadangkan itu membolehkan UEM Sunrise memanfaatkan kepakaran Eco World dalam pemasaran dan penjenamaan.

"Ini mungkin dapat membantu untuk meningkatkan lagi nilai tanah simpanannya di Iskandar Malaysia," jelas MIDF Research.

UEM Sunrise mempunyai baki hartanah seluas 9,162 ekar yang terletak di Iskandar Malaysia dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM80.9 bilion.

Semalam, Kumpulan UEM dalam satu kenyataan mengumumkan cadangan penggabungan antara UEM Surise dan Kumpulan Eco World Development Berhad susulan keadaan ekonomi yang lemah serta haluan pasaran.

Cadangan penggabungan itu dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia yang memiliki kepakaran unggul merentasi pelbagai tawaran produk dengan keupayaan kukuh dalam setiap segmen industri hartanah.

Di bawah cadangan penggabungan itu, pemegang saham Eco World akan menerima saham baharu di UEM Sunrise pada harga RM0.443 sebagai pertukaran untuk saham Eco World yang dipegang pada harga RM0.469.

Jumlah tersebut menghasilkan nisbah pertukaran kira-kira 1.059 saham UEM Sunrise baharu untuk setiap saham Eco World.

Jelas MIDF Research, penilaian tersebut dilihat adil bagi kedua-dua pihak kerana harga pertukaran RM0.469 untuk Eco World menunjukkan 70% diskuan kepada aset bersih sesaham (NTA) terkini yang berharga RM1.57.

Harga tersebut adalah sama dengan diskaun 69% daripada harga terbitan saham UEM Sunrise dengan nilai NTA terkini RM1.42.

Tambah MIDF Research, candangan penggabungan itu juga memberi kelebihan dalam aspek kekuatan kewangan dalam usaha mengembangkan lagi projek tempatan dan di luar negara.

MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan UEM Sunrise di samping mengekalkan saranan 'beli' saham syarikat berkenaan dengan sasaran harga sesaham (TP) yang disemak daripada RM0.54 kepada RM0.52. - DagangNews.com