Gamuda raih untung bersih RM235.79 juta pada 3QFY24, dividen tahunan naik kepada 16 sen | DagangNews Skip to main content

Gamuda raih untung bersih RM235.79 juta pada 3QFY24, dividen tahunan naik kepada 16 sen

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Jun - Gamuda Berhad meraih untung bersih RM235.79 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), meningkat sebanyak 6% daripada RM223 juta setahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, suku tahun berakhir 30 April 2024 itu menyaksikan pendapatan Gamuda berjumlah RM2.49 bilion, naik daripada RM2.07 bilion pada 3QFY23.

 

Pada suku tahunan ini, Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen bagi setiap saham biasa. 

 

Jumlah dividen keseluruhan untuk tahun kewangan semasa setakat ini adalah 16 sen bagi setiap saham biasa.

 

Menurut Gamuda, pertumbuhan pendapatan daripada projek luar negara telah mengimbangi penurunan mendadak dalam pendapatan domestik.

 

"Penurunan pendapatan domestik adalah disebabkan penyiapan projek MRT2 tahun lepas dan kelewatan dalam kelulusan kawal selia beberapa projek domestik seperti LRT Pulau Pinang dan Loji Kuasa Hidroelektrik Atas Padas di Sabah," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Hasil suku tahunan Gamuda Engineering dan pendapatan daripada projek luar negara pula meningkat dua kali ganda kepada RM2.2 bilion dan RM86 juta masing-masing yang dijana dengan ketara oleh projek Australianya.

 

"Bagi suku semasa, hasil keseluruhan dan keuntungan bersih Gamuda Land masing-masing meningkat 76% dan 13% dengan pendapatan dan margin yang lebih kukuh daripada projek domestik," ujarnya.

 

Kumpulan menjangkakan prestasi tahun ini terutamanya akan dipacu oleh aktiviti pembinaan luar negara dengan projek-projek di Australia, Taiwan, dan Singapura yang terus meningkat.

 

Katanya, sumbangan penuh sepanjang tahun daripada perniagaan projek pengangkutan Australia yang baru diperolehi, Downer Transport Projects (pengambilalihan selesai pada Jun 2023), pembinaan beberapa pusat data dan penjualan hartanah termasuk sumbangan yang lebih tinggi daripada projek-projek bahagian hartanah yang baru dilancarkan.

 

"Ke depan, ketahanan Kumpulan disokong oleh buku pesanan pembinaan yang besar bernilai RM24 bilion dan jualan hartanah yang belum dibayar bernilai RM6.7 bilion. 

 

"Selain itu, Kumpulan mempunyai lembaran kewangan yang sihat dengan kadar gearing bersih yang selesa pada 35%," ujarnya.- DagangNews.com