Genetec akan mulakan projek rintis BESS pada 2023, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Genetec akan mulakan projek rintis BESS pada 2023, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Genetec Technology Berhad sedang membangunkan sistem pengurusan simpanan tenaga bateri (BESS) sebagai sebahagian daripada strategi perkembangan kumpulan pada masa hadapan.

 

CGS-CIMB berkata, kumpulan itu merancang untuk menyiapkan prototaip BESS menjelang hujung tahun 2022 dan memulakan projek rintis pada tahun hadapan.

 

"Kumpulan itu berjaya menambah kontrak baharu bernilai c.RM79 juta pada 2QFY23 dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dan simpanan tenaga (ES) termasuk barisan pengeluaran kedua daripada pelanggan mereka.

 

"Kontrak kumpulan itu berjumlah RM256.4 juta pada akhir September 2022 dengan 98% adalah berkaitan segmen EV dan ES," katanya.

 

Terdahulu, untung bersih Genetec Technology Berhad meningkat 57.7% kepadaRM25.7 juta 2QFY23 daripada RM16.3 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

 

BACA JUGA: Untung bersih Genetec Technology meningkat 57.7% kepada RM25.06 juta pada 2QFY23

 

Hasil pada 2QFY23 meningkat 19.1% kepada RM70.66 juta daripada RM59.31 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, untung bersih Genetec melonjak 77.8% kepada RM43.55 juta daripada RM24.49 juta manakala hasil meningkat 44.5% kepada RM143.88 juta daripada RM99.59 juta.

 

Firma itu berkata, prestasi cemerlang kumpulan itu adalah hasil daripada sumbangan lebih tinggi daripada segmen cakera keras (HDD) selain EV dan ES serta campuran jualan yang lebih baik juga tukaran mata wang asing yang lebih baik. 

 

Katanya, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 1HFY23 meningkat kepada 35.4%.

 

"Secara keseluruhan, keuntungan bersih 1HFY23 melonjak 78% kepada RM43.5 juta," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi, RM4.60 sesaham. - DagangNews.com