GLIC akan diperhebatkan lagi dengan inisiatif Perkukuh  | DagangNews Skip to main content

GLIC akan diperhebatkan lagi dengan inisiatif Perkukuh 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pelancaran Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) dilihat akan terus memperhebatkan peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pada masa hadapan. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, konsep Perkukuh dizahirkan untuk mencapai 5 hasil utama iaitu memperjelas mandat setiap GLIC, peningkatan fokus kepada pelaburan pembangunan untuk memacu pertumbuhan baharu dan menyemarakkan sektor swasta. 

 

Inisiatif juga menyiap siaga GLIC bagi masa hadapan melalui peningkatan tadbir urus dan keupayaan serta
mengukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal GLIC.

 

"Sebagai pemain dan pelabur utama di dalam ekonomi, GLIC merupakan penyumbang penting kepada asas ekonomi Malaysia. 

 

"Oleh itu, peningkatan tadbir urus dan proses-proses yang berkaitan juga akan memperkuatkan daya ketahanan GLIC lebih-lebih lagi dalam suasana yang mencabar, dan dengan itu akan menyokong kestabilan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Perkukuh secara maya hari ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

 

Baca : Perkukuh : Inisiatif perkenal semula peranan, perbaharui kemampuan GLIC

 

 

Menurut beliau, Perkukuh akan mewujudkan ekosistem yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan di dalam ekonomi termasuk dalam kalangan rakyat. 

 

Bagi GLIC, katanya, pembinaan portfolio pelaburan (strategik dan komersial) denganpulangan lebih tinggi yang mengambil kira faktor risiko, dan tadbir urus lebih rapi akan menjamin ketahanan dan prospek pertumbuhan yang lebih baik.

 

"Pendekatan ini secara beransur-ansur akan meraih pulangan pelaburan yang lebih baik bagi pendeposit, pemegang saham dan para pesara," tambahnya. 

 

Tengku Zafrul berkata, dari segi komuniti pelabur pula, mereka akan mendapat manfaat dari pembangunan bidang-bidang pertumbuhan baharu, yang mana lebih banyak peluang untuk mereka terlibat secara langsung melalui penyemarakkan pelaburan swasta, lebih-lebih lagi dalam sektor-sektor baharu dan yang telah dibangunkan.

 

"Manfaat kepada ekonomi adalah melalui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan tambah nilai yang tinggi, justeru memperkukuhkan prospek pertumbuhan dan ketahanan fiskal negara bagi jangka masa panjang.

 

"Paling penting, rakyat akan mendapat manfaat daripada prospek peningkatan pendapatan, pulangan yang stabil bagi simpanan, deposit atau pencen, serta program perlindungan sosial yang lebih berkesan dan holistik," jelasnya. 

 

Bahkan, beliau juga menyifatkan peranan GLIC dalam mendorong digitalisasi dan teknologi melalui pelaburan merekajuga akan menyokong kepentingan Malaysia untuk meningkatkan prospek dan ketahanan ekonomi jangka masa panjang. 

 

Katanya, ini akan dilakukan seiring dengan komitmen kerajaan bagi penyusunan semula struktur di dalam jangka masa sederhana untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi serta menghasilkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

 

Pada masa, ujar beliau, inisiatif itu juga diperlukan bukan hanya untuk bersaing dengan landskap pelaburan yang terus berubah, tetapi juga untuk memastikan supaya negara mendokong konsep Alam Sekitar,
Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam keputusan pelaburan aset negara. 

 

"Jika kita tidak mengikuti perkembangan sebegini, ia akan menimbulkan risiko kepada kemampuan Malaysia pada masa hadapan, misalnya di dalam memanfaatkan teknologi baharu atau meningkatkan teknologi yang ada untuk mencapai sasaran manfaat sosio ekonomi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," tambahnya. - DagangNews.com