KOTA BHARU 12 Ogos – Seramai 230 orang termasuk 3 orang kurang upaya (OKU) dari komuniti lapangan terbang di Kota Bharu, Kelantan telah menerima sumbangan pek barangan keperluan asas #MYAirportCARES baru-baru ini.
Semua penerima terdiri daripada kumpulan B40 yang terdiri daripada pekerja pembersihan lapangan terbang, bekas pekerja lapangan terbang, pemandu teksi, penduduk sekitar dan golongan OKU.
Menurut kenyataan media Malaysia Airports, ia adalah inisiatif tanggungjawab korporat #MYAirportCARES yang disokong oleh PERMAIxGDRN (Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia x GLIC/GLC Disaster Response Network) dan bertujuan untuk meringankan beban komuniti lapangan terbang di negeri Kelantan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Setakat ini, inisiatif tersebut telah berjaya menyantuni seramai 1,600 penerima di tujuh lokasi yang melibatkan komuniti di Malaysia dengan berbaki dua lokasi lagi selepas Kota Bharu.
Menurut pengerusi Malaysia Airports, Dato’ Seri Diraja Zambry Abd Kadir, Malaysia Airports amat memahami keadaan mereka terutamanya golongan B40 dimana keadaan ekonomi mereka akan turut terkesan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
Oleh yang demikian kata beliau, selaras dengan matlamat utama organisasi dalam menjalin hubungan ceria, Malaysia Airports tampil untuk membantu meringankan beban mereka sekitar lapangan terbang dengan pemberian pek keperluan asas #MYAirportCARES kerana peranan kami bukan sahaja sebagai pengendali lapangan terbang negara, malah juga organisasi yang peka dan bertanggungjawab akan keadaan sekeliling.
Dengan peruntukkan kira-kira RM38,300 bagi penerima di Kota Bharu, setiap pek sumbangan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, tepung gandum, minyak masak, gula, susu, makanan kering dan pelitup muka.
Sebelum Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, komuniti B40 di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Lapangan Terbang Miri dan Padang Terbang Marudi telah terlebih dahulu menerima sumbangan pek keperluan asas #MYAirportCARES menerusi inisiatif yang sama. - DagangNews.com