KUALA LUMPUR 8 Mac - Pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (BDPS) merupakan satu daripada enam inisiatif bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Lima inisiatif lain ialah:
1. Penubuhan Majlis Wanita Negara (BDPS);
2. Bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah dimantapkan lagi. Hakam merupakan satu kaedah untuk memudah dan mempercepatkan proses perceraian dalam kalangan pasangan Islam.
Kaedah ini diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai.
3. Berhubung dengan perceraian juga, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.
Pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di Mahkamah. Kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.
4. Memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh Wanita yang kematian suami, Ketua Jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah digalakkan untuk membenarkan Wanita tersebut untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.
5. Sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan mahupun negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita.
Perdana Menteri berkata, pemerkasaan wanita akan terus menjadi salah satu agenda penting negara dan hal ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pemegang taruh bagi menjayakannya.
''Justeru, saya menyeru agar perspektif wanita sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar dan perancangan program bagi memastikan wanita mendapat ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negara,'' kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan sambutan Hari Wanita 2022 di sini malam ini. Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan menteri-menteri lain.
Dalam usaha mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.
''Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain,'' kata beliau.
Berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan, Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub-indeks pendidikan dan kesihatan.
''Namun begitu, kita tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut kerana keterlibatan wanita dalam bidang ekonomi dan politik masih lagi rendah.
''Dalam bidang ekonomi dan pekerjaan misalnya, kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan masih rendah iaitu 55.6% berbanding lelaki iaitu 80.8%. Di Australia dan Singapura misalnya, lebih ramai wanita terlibat dalam 4 pasaran buruh, iaitu masing-masing 73.8% dan 69.7%.
Selain itu, daripada setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita hanya menerima RM94.07. Jurang ini semakin meningkat terutama dalam kalangan wanita B40, kesan daripada pandemik COVID-19.
Kadar pengangguran dalam kalangan wanita di Malaysia juga turut meningkat iaitu sebanyak 307,000 orang pada suku pertama tahun 2021, berbanding 215,700 orang pada tempoh yang sama tahun 2020.
Situasi ini begitu membimbangkan serta memberi tekanan amat besar kepada kehidupan wanita terutama mereka yang mengetuai isi rumah, apabila terpaksa mengimbangi dwiperanan mengurus rumah tangga dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk seisi keluarga.
''Seterusnya, jurang gender yang ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuatan keputusan, merupakan satu kerugian kepada negara yang perlu kita tangani secara bersepadu dan menyeluruh.
''Ini kerana ramai wanita di Malaysia yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com