Guna teknologi AI bagi menyediakan air bersih di pelantar minyak dari sumber air laut | DagangNews Skip to main content

Guna teknologi AI bagi menyediakan air bersih di pelantar minyak dari sumber air laut

Oleh Syazuan Abd. Latip dan Khairul Imran Sainan

KETERSEDIAAN sumber air bersih adalah merupakan antara perkara asas yang paling penting dan amat dititik beratkan dalam mana-mana sektor industri, sama ada melibatkan di peringkat skala kecil, sederhana mahu pun bertaraf mega.

 

Sebagai contoh, pemain industri yang terlibat secara langsung dalam operasi cari gali minyak dan gas yang lazimnya berpangkalan di pelantar minyak yang terletak di perairan laut lepas.

 

Melihat kepada perspektif penggunaan sumber air bersih di pelantar minyak,  ketersediaan bekalannya adalah sangat terhad dan diklasifikasikan satu keperluan yang sangat kritikal.

 

Ia disebabkan keadaan bekalan yang ada kalanya terganggu dan berkemungkinan boleh terputus disebabkan oleh  faktor-faktor luar kawalan seperti kekangan pengangkutan dan kesukaran penghantaran bekalan air bersih dari tanah besar serta keadaan cuaca buruk yang juga turut menyumbang kepada ketirisan sumber bekalan.

 

Malahan, antara perkara yang amat dibimbangkan seandainya bekalan air bersih tidak dapat disediakan dalam tempoh yang sepatutnya natijahnya, sudah pasti akan menyukarkan para pekerja pelantar dari segi keperluan makanan dan minuman harian khususnya serta keperluan lain-lain amnya.

 

Merujuk kepada laporan bertajuk Uzma Engineering terima kontrak berjangka daripada Petronas Carigali di portal DagangNews.com bertarikh 15 Februari 2024 yang lalu, telah menyatakan bahawa syarikat Uzma Engineering Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milik penuh Uzma Bhd. telah berjaya memperoleh kontrak bertempoh dari Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi tujuan projek naik taraf dan pengubahsuaian sistem suntikan air mudah alih (PWIM) untuk pelantar Sepat.

 

 

uzma

 

 

Hal ini dengan jelas menunjukkan keperluan penyediaan sumber air bersih adalah merupakan salah satu agenda yang sangat penting dan perlu dititik beratkan bagi memastikan keberlangsungan operasi sesebuah pelantar minyak dapat dijalankan secara skala penuh dan efisen tanpa sebarang kekangan, terutamanya melibatkan ketersediaan sumber air bersih bagi penggunaan secara menyeluruh tanpa sebarang masalah.

 

Berpaksikan kepada kepentingan penyediaan keperluan sumber air bersih secara lestari dan berterusan bagi sesebuah pelantar minyak, cetusan idea penyediaan sumber air bersih melalui kaedah penyahgaraman air laut adalah merupakan antara inovasi penyelidikan yang kini giat dijalankan baik dari kalangan para pemain industri mahupun para akademia dari institusi pengajian tinggi.

 

Bagi tujuan ini, masa dan kos adalah dua perkara pokok yang perlu saling memenuhi kriteria di antara kedua-duanya seiring dengan penghasilan inovasi seperti yang diperlukan serta memenuhi objektif yang disasarkan.

 

Lantaran itu, penyelidikan melalui pendekatan teknologi simulasi perisian kejuruteraan iaitu Computational Fluid Dynamics (CFD) adalah merupakan konsep dan kaedah yang wajar dan sangat bernas untuk diteroka potensinya dan diimplementasi bagi menilai keberkesanannya.

 

Asasnya, penilaian setiap parameter teknikal yang penting melibatkan integrasi antara rekabentuk sistem perpaipan dan pemilihan pam berkaitan operasi penyedutan dan penghantaran air tidak tersuling dari sumber air laut untuk dihantar ke bahagian penyimpanan di pelantar untuk tujuan penyahgaraman dan penyimpanan.

 

Sebagai permulaan, kajian penyelidikan menggunakan pendekatan dan kaedah simulasi ini telah dijalankan oleh dua orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal UiTM, Muhammad Afiq Turiman dan Ariffin Abdul Rashid di kampus Shah Alam, Selangor.

 

Secara dasarnya, setiap parameter terlibat yang dianalisis ini adalah dihadkan kepada cadangan reka bentuk sistem perpaipan serta perbandingan jenis dan kategori pam.  

 

Analisis data adalah berdasarkan kepada proses pengambilan (pam) dan penghantaran (reka bentuk sistem perpaipan) sumber air tidak tersuling dari laut ke ke bahagian atas pelantar.

 

 

parafrasa

 

 

Sudah semestinya, kajian yang dijalankan ini memerlukan banyak maklumat penting sebelum proses simulasi dapat dilaksanakan terutamanya penentuan dari segi jenis, saiz dan ketinggian pelantar yang mana dalam hal ini jack-up rig adalah merupakan jenis pelantar yang dipilih berdasarkan kepada rujukan dan maklumat tentang jenis pelantar ini yang lazimnya terdapat di perairan negara.

 

Keunikan terhadap penyelesaian masalah sebenar seperti yang dihadapi oleh pemain industri yang terlibat dalam operasi cari gali minyak dan gas ini adalah dari aspek penjimatan kos yang sangat ketara dan penggunaan pendekatan cadangan penyelesaian masalah berasaskan teknologi kejuruteraan perisian simulasi yang memaparkan keputusan (output) sebenar secara tepat, kritis dan memenuhi kriteria teknikal yang bermanfaat untuk dijadikan sebagai rujukan asas oleh pihak industri.

 

Ini seterusnya membolehkan industri menghasilkan model ataupun prototaip bagi mendapatkan justifikasi dan verifikasi keputusan analisis kajian secara pendekatan simulasi dan fizikal.

 

Selain itu, melalui pendekatan penyelesaian masalah berasaskan kepada kaedah simulasi ini, jumlah masa yang diperuntukkan juga dapat dikurangkan.

 

Ini memandangkan proses simulasi ini dapat dijalankan sepenuhnya berdasarkan kepada input parameter  yang dimasukkan ke dalam sistem aplikasi perisian yang terlibat di mana dalam hal ini melibatkan penggunaan sistem aplikasi perisian bertaraf industri.

 

Antara kelebihan lain melalui kaedah simulasi ini adalah keupayaan untuk mengubah nilai parameter berdasarkan kepada kesesuaian bagi memperoleh keputusan analisis (output) secara tepat atau bagi memenuhi objektif kajian yang dijalankan.

 

 

iktisad

 

 

Terdapat dua kajian simulasi yang telah dijalankan berkait dengan proses penyahgaraman ini.

 

Kajian yang pertama adalah berkenaan perbandingan kecekapan hidraulik bilah antara pam ambilan tunggal dan pam ambilan berkembar.

 

Keputusan kajian telah menunjukkan pam ambilan berkembar adalah lebih sesuai untuk digunakan di bahagian ruang masuk sistem penyahgaraman jika dibandingkan dengan pam ambilan tunggal.

 

Manakala kajian yang kedua menumpukan kepada kehilangan daya mekanikal di dalam sistem perpaipan air laut yang digunakan.

 

Kedua-dua kajian ini telah disemak dan disahkan secara perbandingan keputusan dengan kajian-kajian terdahulu yang berkaitan.

 

Adalah diharapkan agar hasil dapatan dari kajian ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan awal kepada pihak industri kelak bagi tujuan reka bentuk dan seterusnya penyediaan sistem penyahgaraman di pelantar minyak mereka untuk keperluan air bersih secara optimum.

 

Kaedah penyelesaian masalah ini walaupun telah lama dipelopori, namun ia masih lagi digunakan dan amat bersesuaian untuk digabungkan dengan pendekatan terkini seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) yang bercirikan abad ke-21 di mana ia memenuhi keperluan Sustainable Development Goals (SDGs) yang secara spesifiknya merujuk kepada item SDG 3 & 6.

 

 

parafrasa

 

 

Secara tidak langsung, ia bakal memberikan impak yang sangat positif terhadap keberhasilan para jurutera muda yang memiliki minda kelas pertama dalam menyelesaikan masalah kejuruteraan melalui penggunaan teknologi simulasi serta dapat menyumbang ke arah penghasilan produk kejuruteraan terkehadapan yang memenuhi kriteria Revolusi Industri 4.0 untuk masa kini dan kelak. - DagangNews.com

 

 

Syazuan Abd. Latip adalah Pensyarah Kanan Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil, Universiti Teknologi MARA
Khairul Imran Sainan adalah Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA Shah Alam