Hadiah RM70k menanti pemenang Toyota GR Velocity Esport Musim 3 | DagangNews Skip to main content

Hadiah RM70k menanti pemenang Toyota GR Velocity Esport Musim 3

Toyota GR Velocity Esport

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Hadiah wang tunai berjumlah RM70,000 serta peluang mewakili Malaysia menanti pemenang dalam Kejuaraan Toyota GR Velocity Esport musim ketiga.

Toyota dalam kenyataan hari ini berkata, Kejuaraan Toyota GR Velocity Esport adalah satu siri perlumbaan dalam talian tempatan yang menawarkan hadiah lumayan seperti wang tunai RM20,000, RM10,000, RM7,000 RM5,500 dan RM4,500 kepada lima pelumba terbaik.

"Selain itu, wang tunai bernilai RM4,000, RM3,500, RM3,000, RM2,500 dan RM2,000 turut disediakan kepada pemenang bagi kedudukan ke-6, 7, 8, 9 dan 10 selain wang tunai RM500 kepada peserta yang menduduki tangga ke-11 hingga 20.

"Dengan RM70,000 yang tersedia, semua pelumba akan berpeluang untuk menerima wang tunai tambahan bernilai RM450, RM200 dan RM100 yang akan diberikan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap empat pusingan akhir," jelas Toyota.

Perlumbaan secara maya anjuran Toyota itu akan bermula pada September 2020 dengan beberapa siri kelayakan, separuh akhir dan perlumbaan kemuncak dengan format empat pusingan.

Pusingan tersebut adalah terhad kepada 180 peserta bagi setiap pusingan dan akan berlangsung sepanjang dua minggu iaitu pada 3 higga 4 September dan 12 hingga 13 September yang dijangka melibatkan seramai 720 pelumba.

Akio Takeyama
Akio Takeyama

 

Tambah Toyota lagi, tiga pemenang teratas juga akan menerima penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan sukan permotoran maya yang julung kali dianjurkan iaitu Piala Asia GR Supra GR 2020.

Piala anjuran Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) yang akan diadakan pada Oktober 2020 itu bakal menyaksikan wakil pelumba negara bersaing dengan beberapa pelumba terbaik dari Thailand, Singapura, Filipina dan India.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sukan Permotoran Toyota Gazoo Racing, Akio Takeyama berkata, perlumbaan perlu diteruskan meskipun dalam keadaan norma baharu pasca pandemik COVID-19 walaupun perlumbaan sebenar yang melibatkan Toyota dijangka tidak akan berlangsung hingga suku pertama 2021.

"Tempoh lima bulan sebelum ini memberi ruang kepada UMWT (UMW Toyota Motor Sdn. Bhd.) untuk merancang aktiviti perlumbaan maya kami dan membawa semangat lumba Gazoo serta sukan perlumbaan kepada orang ramai.

"Kempen perlumbaan maya dimulakan dengan menganjurkan Toyota Gazoo Racing Online Challenge yang menampilkan lima pusingan berasingan sejak April. Acara itu telah berjaya menarik pemain muda termasuk yang berusia enam tahun menggunakan platform Sony PlayStation Gran Turismo Sport dalam pencarian pelumba terpantas di litar-litar utama seluruh dunia," jelasnya dalam kenyataan sama.

Ravindran K.
Ravindran K.

 

Dalam pada itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. memberitahu, sejak mula dianjurkan pada 2018, jumlah peserta berjaya mencecah seramai 657 berbanding 400 orang pada tahun sebelumnya dan dijangka meningkat kepada 720 peserta bagi tahun 2020.

"Usaha ini menunjukkan kesungguhan Toyota untuk membawa suka permotoran kepada khalayak umum serta memperkenalkan barisan model terkini dengan logo dan inspirasi perlumbaan di bawah lencana GR," katanya. - DagangNews.com