Hakim Mahkamah Tinggi panggil doktor pakar hospital mengenai kesihatan sebenar Zahid Hamidi | DagangNews Skip to main content

Hakim Mahkamah Tinggi panggil doktor pakar hospital mengenai kesihatan sebenar Zahid Hamidi


SHAH ALAM 24 Ogos - Berikutan Susulan ketidakhadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dijadualkan hari ini, Mahkamah Tinggi di sini memanggil seorang doktor pakar dari sebuah hospital swasta bagi menjelaskan keadaan kesihatan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

 

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, sapina akan dikeluarkan kepada doktor tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai prosedur yang akan dijalankan terhadap Ahmad Zahid.

 

"Mahkamah juga perlu maklumat mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk tertuduh benar-benar pulih.

 

"Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan bagi menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,'' katanya, lapor Sinar Harian.

 

Dalam prosiding pagi ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Presiden UMNO itu berkata, anak guamnya tidak dapat hadir kerana akan menjalani prosedur tulang belakangnya di sebuah hospital pakar.

 

Menurut Poh Teik,anak guamnya itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam pada 22 Ogos kerana kecederaan akibat jatuh minggu lalu, lapor AstroAwani.

 

Ketidakhadiran Ahmad Zahid menyebabkan prosiding yang dijadualkan bermula jam 9 pagi tadi ditangguh seketika sehingga kehadiran doktor tersebut.

 

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. - DagangNews.com