Hampir seluruh penduduk divaksin, 33 PPV di Lembah Klang ditutup secara berperingkat | DagangNews Skip to main content

Hampir seluruh penduduk divaksin, 33 PPV di Lembah Klang ditutup secara berperingkat

33 PPV di Lembah Klang ditutup secara berperingkat

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Sebanyak 33 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang ditutup secara berperingkat.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, penutupan itu dibuat susulan daripada kejayaan Ops Lonjakan Kapasiti Lembah Klang yang telah memberi vaksin kepada hampir keseluruhan penduduk di kawasan berkenaan dengan sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

 

"Ops Lonjakan Kapasiti Lembah Klang telah berjaya memvaksinasi hampir keseluruhan penduduk di Lembah Klang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

 

"Susulan ini, beberapa PPV di Lembah Klang telah dan akan ditutup secara berperingkat," jelas JKJAV dalam satu ciapan ringkas di laman Twitter rasminya.

 

.

 

Setakat 23 Ogos 2021, sebanyak 26 PPV telah ditutup dan sebuah PPV lagi akan ditutup hari ini iaitu PPV Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC 1&2).

 

Selain itu, enam lagi PPV akan ditutup secara berperingkat bermula esok hingga 30 September nanti.

 

Bagi rekod, Lembah Klang yang meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mencatatkan peratusan populasi divaksin sebanyak 80.0%.

 

Sebanyak 62.3% daripadanya telah menerima dua dos suntikan.

 

Bagi peratusan vaksinasi golongan dewasa pula, Lembah Klang merekodkan peratusan tertinggi sebanyak 109.3%, sebanyak 85.2% daripadanya telah lengkap dua dos vaksin. - DagangNews.com