Hanya 74% pekebun kecil kelapa sawit miliki perakuan MSPO | DagangNews Skip to main content

Hanya 74% pekebun kecil kelapa sawit miliki perakuan MSPO

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata peratusan pekebun kecil swasta yang memiliki pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) berjumlah 73.88% setakat 30 Jun.

 

Semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata peratusan itu berada pada tahap tidak memuaskan.

 

"Kami mahu pergi ke peringkat yang lebih tinggi, dengan tahap keseluruhan untuk semua pekebun kecil swasta atau terancang dan ladang mencapai 85% pensijilan MSPO," katanya menjawab soalan tambahan Senator Abdul Halim Suleiman mengenai proses bantuan untuk pekebun kecil.

 

 

mpso

 

 

Menurut Chan, insentif kepada pekebun kecil swasta diberikan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di mana kos pengauditan bersama peralatan perlindungan diri dan rak penyimpanan racun, latihan amalan pertanian yang baik, dan dokumentasi MSPO diberikan secara percuma.

 

“Insentif ini masih dilaksanakan kepada pekebun kecil bagi mengurangkan beban kewangan mereka bagi mengekalkan pensijilan MSPO apabila tamat tempoh,” katanya.

 

Chan berkata, taklimat dan latihan telah dijalankan untuk industri sawit bagi membantu dalam pematuhan piawaian MSPO.

 

“MPOB juga mewujudkan Kluster Minyak Sawit Lestari bagi memudahkan pengurusan pekebun kecil secara berkumpulan di bawah pengurusan pegawai baharu yang akan memberi latihan kepada pekebun kecil mengenai pensijilan MSPO.

 

"Sistem latihan kumpulan telah direka dan dilaksanakan untuk memastikan pekebun kecil menerima pendidikan berterusan mengenai kaedah pengurusan ladang yang mampan dan pematuhan piawaian pensijilan MSPO," kata Chan. - DagangNews.com