Hap Seng lupuskan seluruh ekuitinya dalam Richmore kepada Gek Poh pada harga RM51 juta | DagangNews Skip to main content

Hap Seng lupuskan seluruh ekuitinya dalam Richmore kepada Gek Poh pada harga RM51 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Julai - Hap Seng Consolidated Bhd (HSCB) mencadangkan untuk melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Richmore Development Sdn Bhd kepada Gek Poh (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM51 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata Hap Seng Hospitality Sdn Bhd (HS Hospitality) dan Hap Seng Land Development Sdn Bhd (HSLD), kedua-dua anak syarikat milik penuh tidak langsung HSCB telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan Gek Poh untuk cadangan pelupusan 50.5 juta saham biasa, mewakili 100% kepentingan dalam Richmore.

 

Setelah selesai cadangan pelupusan, Richmore akan menjadi anak syarikat milik penuh Gek Poh.

 

"Oleh itu, liabiliti Richmore berjumlah RM212.5 juta akan dinyahsatukan daripada Kumpulan HSCB dan Gek Poh akan menjadi penjamin baharu untuk pinjaman bank Richmore," katanya.

 

HSCB juga berkata cadangan pelupusan itu akan menyelaras dan mengimbangi gabungan portfolio kumpulan antara pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah.

 

Ia menambah bahawa latihan itu juga akan mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan menyahsatukan pinjaman Richmore sebanyak RM202 juta pada 30 Jun, 2023 daripada Kumpulan HSCB. - DagangNews.com