Harga minyak kukuh lonjak ringgit lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Harga minyak kukuh lonjak ringgit lebih tinggi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 April - Ringgit meneruskan momentum kenaikan dengan mengukuh kepada RM4.1220/1250 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Semalam, mata wang itu ditutup pada RM4.1270/1300 disokong oleh harga minyak yang stabil disebabkan keyakinan permintaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum.

 

HLIB Research berkata, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) turut meningkatkan permintaan bagi minyak mentah global yang menyaksikan Brent melonjak sehingga AS$66.58 setong, tertinggi sejak pertengahan Mac.

 

Firma itu menjangkakan ringgit akan terus mengukuh dalam dagangan hari ini terutama apabila dolar AS juga dilihat semakin melemah. 

 

"Kami menjangkakan ia akan berlegar dalam julat antara RM4.11 hingga RM4.14. Tetapi, data AS yang meyakinkan mungkin boleh menyelamatkan dolar hari ini. 

 

"Namun, kami menantikan hasil daripada data pengangguran, peruncitan dan pengeluaran perindustrian di AS," katanya dalam nota kajian. 

 

Dolar AS jatuh 0.18% kepada 91.69, terendah dalam tempoh sebulan ekoran impak berterusan daripada sentimen vaksin J&J.

 

Ini susulan daripada langkah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang terus menangguhkan penggunaan vaksin itu disebabkan kekurangan data bagi menilai risiko. - DagangNews.com