KUALA LUMPUR 14 Julai - Syarikat pengurusan harta dan aset, Pictet Wealth Management (Pictet) akan menyemak semula sasaran kenaikan harga minyak tahunan Brent.
Langkah itu diambil susulan permintaan serta bekalan minyak dilihat kembali seimbang selepas dunia mula pulih daripada penularan wabak COVID-19.
Perkara itu akan diumumkan ketika persidangan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dijangka berlangsung minggu ini.
Pictet bakal membentangkan rancangan untuk mengurangkan pemotongan pengeluaran dalam sejarah di OPEC.
Ketua Penyelidikan Gunaan Pictet, Jean-Pierre Durante berkata, sasaran harga akhir tahun itu akan mencecah AS$ 40 ($ 55.60) bagi satu tong, meningkat daripada AS$ 18 ($ 25.02) bagi kuantiti sama.
Jelasnya, peningkatan harga itu adalah susulan penurunan kes baharu COVID-19 terutamanya di negara-negara Eropah.
Hal ini sekali gus mendorong penarikan semula pelaksanaan kawalan berkurung dan seterusnya harga minyak mula pulih.
“Proses pemulihan yang pantas dari segi pergerakan dan perubahan tabiat perjalanan seperti pemilihan pengangkutan individu lebih banyak berbanding transit awam menunjukkan permintaan bahan petroleum yang lebih tinggi walaupun trafik udara berterusan menunjukkan penurunan,” katanya.
Malah, pada awal Jun lalu, harga minyak Brent melonjak dalam lingkungan AS$ 37 hingga AS$ 44 dan ini menunjukkan industri bahan itu kian pulih.
Jelas Durante, faktor-faktor seperti harga keseimbangan asas dalam jangka masa panjang yang lebih tinggi serta pemulihan ekonomi yang memberangsangkan disusuli oleh peningkatan tahap kebimbangan akibat COVID-19 di negara Eropah dan Amerika Syarikat tidak akan melemahkan harga minyak dengan ketara.
Pada Jumaat lalu, Philip Futures mendedahkan pasaran minyak mentah meningkat setelah Badan Tenaga Antarabangsa (IEA) menaikkan anggaran permintaan minyak mentah global 2020 kepada 92.1 juta tong dalam sehari (bpd), iaitu sebanyak 400,000 bpd sehari.
Namun, IEA memberi amaran bahawa situasi itu mungkin akan menjadi sebaliknya susulan jangkitan COVID-19 kian menular di beberapa kawasan AS dan kembali meningkat di negara Asia. - DagangNews.com