SYDNEY 7 Sept. - Harga minyak dunia terus menyusut ke paras di bawah AS$40 (RM166) setong berikutan tindakan Arab Saudi memotong harga jualan minyaknya bagi Oktober, petanda bahawa pengeksport minyak terbesar global itu melihat permintaan kepada bahan api semakin goyah disebabkan pandemik COVID-19 yang membelenggu dunia.
Pasaran hadapan New York menurun sebanyak 2.8%, selepas mencatat kejatuhan 4% pada Jumaat lalu. Syarikat minyak Arab Saudi iaitu Saudi Aramco, mengurangkan gred minyak mentah Arab Light utamanya pada kadar yang lebih besar daripada jangkaan bagi penghantaran ke Asia, pasaran utamanya. Ia juga mengurangkan harga untuk pembeli Amerika Syarikat (AS).
Minyak mentah AS menyusut 7.5% minggu lepas, kerugian mingguan terbesar sejak Jun, ekoran kebimbangan terhadap permintaan yang makin lemah susulan musim panas yang lembap.
Ia mungkin mengambil selama tiga tahun untuk permintaan kembali ke paras sebelum pandemik, kata Timbalan Menteri Tenaga Rusia, Pavel Sorokin, lapor Bloomberg.
West Texas Intermediate bagi penghantaran Oktober menyusut 88 sen kepada AS$38.89 (RM161.39) setong di New York Mercantile Exchange pada pukul 8:08 pagi waktu Australia hari ini. Pada Jumaat, ia jatuh AS$1.60 (RM6.64) untuk berada di paras As$39.77 (RM165.05) setong di New York, paras terendah sejak awal Julai. Brent bagi November pula turun 90 sen menjadi AS$41.76 (RM173.30) setong, menambah penurunan sebanyak 3.2% pada Jumaat.
Minyak mentah bermula lemah bulan ini berikutan pencetusan virus di beberapa tempat di dunia yang mengancam pemulihan dari segi penggunaan minyak ketika OPEC dan sekutunya melepaskan kekangan output. Namun, Rusia menyaksikan pemulihan harga minyak ke paras purata antara AS$50 hingga AS$55 setong pada 2021 selepas kemajuan pada vaksin COVID-19 melonjak pemulihan ekonomi, kata Menteri Tenaganya, Alexander Novak.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS bakal mengumumkan Prospek Tenaga Jangka Pendek pada Rabu ini, manakala pasaran akan juga menumpu kepada data inventori mingguan sebagai bukti pembekalan terus menyejat. Pasaran saham AS ditutup hari ini kerana menyambut cuti Hari Pekerja. - DagangNews.com