Harga minyak sawit mentah diunjur RM3000-3,600 bagi Februari | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur RM3000-3,600 bagi Februari

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur mampu mencecah antara RM3,000 hingga RM3,600 bagi Februari 2021. 

 

Unjuran itu dibuat CGS-CIMB Research, bergantung kepada keadaan cuaca di Amerika Selatan selain dasar kerajaan terhadap cukai dan levi serta mandat biodiesel.

 

Penghujung bulan ini juga dijangka menyaksikan stok minyak sawit menokok 1.1% bulan ke bulan kepada 1.34 juta tan, tetapi output serta eksport diramal menyusut 5%.

 

“Kami menjangkakan output dan eksport akan menjadi lebih rendah kerana kurangnya hari bekerja pada Februari,” ujar firma penyelidik itu dalam nota kajiannya. 

 

Malaysia menyaksikan stok minyak sawit meningkat 5% bulan ke bulan kepada 1.33 juta tan setakat penghujung Januari 2021 ekoran eksport yang lebih lemah. 

 

Namun, stok minyak sawit kekal terhad, menyusut 25% berbanding tahun lalu kerana pengeluaran yang lemah dan berada di bawah paras minyak sawit dari segi perbandingan bulan Januari  dengan ketara, sepanjang tempoh 10 tahun lalu, iaitu 2.09 juta tan.

 

Menurut CGS-CIMB, stok bagi bulan lalu 3% lebih rendah daripada ramalan firma itu iaitu 1.36 juta tan susulan import yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Namun, paras itu lebih tinggi daripada Bloomberg (10%) dan Reuters (3%). 

 

“Stok minyak sawit yang terhad dan harga kacang soya yang kian meningkat mampu mendorong harga MSM untuk terus melonjak dalam masa terdekat,” tambah CSG-CIMB lanjut.

 

Purata harga MSM melonjak 4% bulan ke bulan dan 24% tahun ke tahun kepada RM3,749 setiap tan pada bulan lalu, merupakan paras purata bulanan tertinggi sejak Februari 2011. 

 

CSG-CIMB percaya lonjakan harga MSM susulan tercetusnya kebimbangan terhadap paras inventori minyak sawit yang rendah di Malaysia dan Indonesia selain bekalan terhad bagi minyak boleh dimakan lain. 

 

Dalam pada itu, syarikat-syarikat perladangan Malaysia dalam landasan tepat untuk mencatatkan keuntungan kukuh menjelang suku keempat 2020 (4Q20) memandangkan harga MSM lebih tinggi. 

 

“Kami menekankan penarafan ‘neutral’ terhadap syarikat perladangan Malaysia dengan Genting Plantations Berhad, Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad merupakan pilihan teratas,” tambah firma penyelidik itu. - DagangNews.com