Harga siling RON95, diesel diturunkan | DagangNews Skip to main content

Harga siling RON95, diesel diturunkan

RON95

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kerajaan bersetuju untuk menurunkan had harga siling produk petrol RON95 dan diesel masing-masing kepada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu adalah bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

 

"Paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel. 

 

"Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Keputusan tersebut diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia. 

 

Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia.

 

Malaysia juga bakal melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021.

 

"Kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat," tambahnya lagi. - DagangNews.com