KUALA LUMPUR 5 Sept - Hartalega Holdings Berhad menjangkakan perniagaan pulih pada separuh pertama 2024 hingga 2025, namun tidak menjangkakan peningkatan dalam jualan pada tahun ini berikutan import sarung tangan global kekal rendah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata pengimportan global sarung tangan berkurangan dengan ketara daripada 300 bilion keping setiap bulan sebelum wabak COVID-19 kepada 15 bilion helai setiap bulan pada masa ini.
“Hari ini, permintaan pasaran kekal lemah dan banyak stok di kilang kini akan tamat tempoh dan ini menyebabkan stok dikeluarkan di pasaran dengan harga yang lebih rendah.
“Justeru, kami menjangkakan harga jualan purata (ASP) akan kekal rendah dan tiada peningkatan permintaan untuk tahun ini disebabkan fenomena itu,” katanya semasa sidang media pasca mesyuarat agung tahunan, di sini hari ini, lapor Bernama.
Mun Leong berkata, inventori yang disimpan sejak awal pandemik itu biasanya berakhir dengan jangka hayat antara tiga hingga lima tahun.
Namun begitu, beliau yakin Hartalega antara yang akan mendapat manfaat apabila pasaran pulih berikutan Malaysia akan terus menjadi destinasi utama untuk membeli sarung tangan walaupun berdepan ekonomi global yang mencabar dan ketegangan geopolitik.
Mengulas lanjut mengenai penutupan kemudahan Bestari Jayanya, beliau berkata, langkah itu akan menjadikan Hartalega lebih berdaya saing dan membolehkan kumpulan itu menyatukan operasi di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) Hartalega di Sepang, Selangor.
“Kemudahan Bestari Jaya mempunyai 40 barisan pengeluaran dan kelajuannya berada antara 30,000 keping sejam hingga setinggi 45,000 keping sejam.
"Sebagai perbandingan, semua barisan pengeluaran di NGC melebihi 45,000 keping sejam.
“Jadi, pada asasnya ia menjadikan kami lebih berdaya saing dengan teknologi yang boleh menurunkan kos dan menyatukan kapasiti pengeluaran ke dalam NGC,” katanya, sambil menambah bahawa asas kumpulan kekal kukuh dengan kedudukan tunai bersih yang baik sebanyak RM1.6 bilion pada 31 Mac, 2023.
Mengenai usaha meluaskan kehadiran pasarannya, beliau berkata Hartalega telah secara aktif meneliti perniagaan yang boleh memberikan nilai untuk perniagaan teras dan berkaitan dengan industri penjagaan kesihatan.
Pada 30 Jun 2023, dana pemegang saham Hartalega berjumlah RM4.6 bilion, manakala permodalan pasaran kini melebihi RM6 bilion.
Penutupan kemudahan Bestari Jayanya, yang terdiri daripada empat kilang pengeluaran, sebahagian daripadanya telah beroperasi sejak 2004, disasarkan selesai pada suku pertama 2024. - DagangNews.com