Hartasuma jalin kerjasama dengan Metro Pacific Investments teroka pasaran kejuruteraan, penyelenggaraan rel di Filipina | DagangNews Skip to main content

Hartasuma jalin kerjasama dengan Metro Pacific Investments teroka pasaran kejuruteraan, penyelenggaraan rel di Filipina

Tan Sri Ravindran Menon (kiri) bertukar dokumen dengan Manuel V. Pangilinan selepas memeterai perjanjian kerjasama antara Hartasuma dan Metro Pacific Investments Corp di Manila, Filipina, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Syarikat gerabak dan perkhidmatan rel bersepadu, Hartasuma Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat infrastruktur yang berpangkalan di Filipina, Metro Pacific Investments Corp (MPIC) bagi menerokai pasaran kejuruteraan dan penyelenggaraan rel Filipina. 

 

Sebagai permulaan, Hartasuma dan MPIC akan mengambil bahagian dalam projek-projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta.

 

Kedua-dua pihak berhasrat menjalinkan kerjasama bagi mengenal pasti potensi pembangunan bersama di bawah tiga kategori, termasuk reka bentuk, kejuruteraan, pemasangan, pengubahsuaian, pemodenan, perkhidmatan baik pulih & pemulihan serta pengurusan projek lengkap yang berkaitan dengan gerabak selain subsistem kereta api lain yang berkaitan 

 

Ia juga merangkumi sistem dan perkhidmatan kereta kabel untuk pengangkutan bandar dan luar bandar selain pembinaan kemudahan bagi menjalankan projek yang berkaitan gerabak, sub-sistem kereta api lain yang berkaitan serta sistem kereta kabel di Filipina.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan pengusaha infrastruktur yang bereputasi tinggi.

 

Beliau berkata, pihaknya juga ingin menambah nilai kepada kerjasama melalui kepakaran mereka dan membantu MPIC dalam mencapai matlamatnya.

 

"Keutamaan diberikan kepada sistem kereta api oleh Kerajaan Filipina, yang dibentangkan dalam cadangan bajet Jabatan Pengangkutan (DoTr) 2024 sebanyak P214.3 bilion (RM17.6 bilion) bagi mempercepatkan peningkatan projek infrastruktur dan menambahbaik dasar pengangkutan, ini menunjukkan peluang besar yang tersedia untuk kami. 

 

"Kami berhasrat untuk menyumbang kepada aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau melalui pembangunan infrastruktur kereta api utama”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPIC, Manuel V. Pangilinan berkata, pihaknya berharap dapat memanfaatkan kepakaran yang dimiliki Hartasuma dalam industri kejuruteraan kereta api dan pengangkutan dalam operasi pihaknya di Filipina.

 

"Kami berhasrat untuk meneroka inovasi yang boleh membantu kami membina infrastruktur pengangkutan masa depan," katanya.

 

Kerjasama strategik ini akan membuka jalan untuk pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan projek pengubahsuaian gerabak di Filipina dan penyelidikan mengenai sistem kereta kabel untuk pelancongan dan pengangkutan bandar. 

 

Usaha niaga itu tidak hanya akan mengubah landskap pengangkutan negara ini tetapi juga akan mewujudkan industri yang berkembang pesat yang akan menyokong kemajuan ekonomi dengan memperkembangkan kemahiran, mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Filipina selain meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan dan rantaian bekalan.

 

Pada awal tahun ini, Hartasuma berjaya memperoleh projek Kereta Kabel Bukit Pulau Pinang bernilai RM250 juta melalui inisiatif perkongsian awam swasta (PPP) daripada Kerajaan Pulau Pinang. - DagangNews.com