Hasil 4Q20 Kossan dijangka lebih 'mengejutkan' - MIDF | DagangNews Skip to main content

Hasil 4Q20 Kossan dijangka lebih 'mengejutkan' - MIDF

Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Syarikat pembuatan sarung tangan, Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan) dijangkan mencapai hasil yang lebih mengejutkan menjelang suku keempat 2020 (4Q20).

MIDF Research berkata, jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira prestasi semasa syarikat berkenaan selain nilai keuntungan yang dicapai pada suku ketiga 2020.

"Kami menjangkakan bahawa hasil suku keempat (Kossan) mungkin lebih mengejutkan. Oleh itu kami mengira margin keuntungan yang lebih tinggi untuk suku berkenaan.

"Hasilnya, pendapatan bersih teras kami disemak semula menjadi RM1.09 bilion daripada Rm844.6 juta pada sebelumnya.

"Oleh itu, kami kekalkan anggaran pendapatan Kossan untuk tahun kewangan 2021," kata MIDF Research.

Kossan berjaya memperoleh peningkatan 232.5% dalam pendapatan bersih untuk sembilan bulan pertama 2020 kepada RM544.6 juta susulan lonjakan pendapatan syarikat berkenaan sebanyak 42.8% kepada RM2.35 bilion.

Perkembangan positif itu didorong oleh peningkatan permintaan sarung tangan getah akibat pandemik COVID-19 selain harga bahan mentah yang rendah sepanjang tahun dengan penurunan harga getah nitril sekitar 7%.

Bagi suku ketiga 2020, keuntungan bersih Kossan meningkat 609.2% kepada RM348.7 juta.

Jelas MIDF Research, keuntungan yang dicapai itu turut didorong oleh peningkatan purata harga jualan (ASP) sarung tangan yang meningkat 40% berbanding suku kedua 2020.

Selain itu, ia turut disumbangkan oleh kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi sebanyak 9% daripada kilang 19.

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research memberitahu, Kossan berkemungkinan berdepan dengan gangguan tenaga kerja untuk pembukaan dan pengoperasian di kilang 20.

Kilang tersebut dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada separuh pertama tahun kewangan 2021.

"Kami menilai bahawa pembekuan pengambilan pekerja asing boleh menimbulkan gangguan kepada Kossan sekiranya syarikat itu tidak memiliki tenaga kerja yang cukup untuk dipindahkan ke kilang baharu itu.

"Kami kekalkan saranan 'beli' saham Kossan dengan nilai sasaran sesaham (TP) tidak berubah iaitu RM10.02," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com