Hasil jualan amal lukisan ibu tunggal berjaya kumpul RM10,000 | DagangNews Skip to main content

Hasil jualan amal lukisan ibu tunggal berjaya kumpul RM10,000

Raja Putra Shah (kanan) menyerahkan salah satu hasil lukisan yang dibeli Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Dato' Ishak Abd Rahman.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 18 April - Sebanyak RM10,000 diagihkan kepada 30 orang ibu tunggal hasil daripada jualan lukisan dalam membantu meringankan perbelanjaan mereka pada bulan Ramadan.

 

Karya-karya tersebut dihasilkan mereka semasa menyertai Bengkel Ilham Mataku 'Expression from the Heart’.

 

Program amal ini merupakan cetusan idea Pengerusi Heart & Craft, Raja Putra Shah yang berlangsung di Hotel Casuarina, Kuala Kangsar.

 

Menurut Raja Putra Shah, daripada jumlah tersebut setiap ibu tunggal menerima RM333 setiap seorang. 

 

"Saya percaya walaupun jumlah ini kecil tetapi sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan mereka apatah lagi dalam menyambut Syawal.

 

“Pihak pengurusan akan meneruskan penjualan baki lukisan di Kuala lumpur selepas Aidilfitri bagi memenuhi sasaran mengumpul sebanyak RM15,000," ujarnya.

 

 

irsyad
Sebahagian daripada ibu tunggal yang menyertai Bengkel Ilham Mataku 'Expression from the Heart’ di Kuala Kangsar.

 

irsyad
Antara karya lukisan ibu tunggal yang dihasilkan.

 

 

Sehubungan itu, pihaknya merancang  mengadakan jualan pada majlis minum petang dan pertujukan fesyen yang akan dihadiri golongan koprat yang berpotensi untuk membeli lukisan tersebut.

 

Raja Puan Muda Perak, DYAM Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menghadiri ke majlis itu sebagai tetamu kehormat Diraja.

 

Menurutnya lagi, Tunku Soraya mencadangkan majlis minum petang diadakan selepas hari raya dan tarikhnya akan ditetapkan kemudian.

 

“Program yang akan dilaksanakan nanti mampu membantu ibu tunggal dalam prespektif berbeza dan boleh menjana ekonomi sampingan kepada mereka.

 

"Tunku Soraya menzahirkan keprihatinannya dan sentiasa menyokong terhadap pengajuran program seumpana ini dalam membantu mempertingkatkan ekonomi golongan ibu tunggal," ujarnya. - DagangNews.com