Hektar REIT beli Kolej Yayasan Saad Melaka pada harga RM 148.5 juta, sasar gandakan saiz portfolio menjelang 2027 | DagangNews Skip to main content

Hektar REIT beli Kolej Yayasan Saad Melaka pada harga RM 148.5 juta, sasar gandakan saiz portfolio menjelang 2027

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai 2024 – Hektar Asset Management Sdn Bhd mengumumkan anak syarikatnya, Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) telah membeli Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM), sebuah sekolah kediaman penuh swasta berprestij di Melaka dengan nilai RM148.5 juta. 

 

Pengambilalihan itu merupakan aset pendidikan pertamanya dalam usaha syarikat itu bagi pengembangan dan kepelbagaian portfolionya.

 

Menurut kenyataan media, pengambilalihan KYSM sebagai aset menjaminkan Hektar REIT pajakan bersih empat kali ganda selama 30 tahun sekaligus memberikan hasil tambahan setiap tahun dengan purata 8% sepanjang tempoh pajakan.

 

Katanya, pemerolehan strategik itu akan meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) Hektar REIT sebanyak 12% kepada RM1.38 bilion. 

 

Pengurus Hektar REIT menyatakan pemerolehan itu merupakan aset bukan runcit pertama syarikat itu. 

 

“Hektar REIT sedang dalam peringkat pengambilalihan aktif, ingin menyuntik lebih banyak aset menjana pendapatan dan menggandakan saiz portfolio kami kepada RM3.0 bilion menjelang 2027. ” 

 

“Ada beberapa aset yang kami pertimbangkan secara strategik untuk menggabungkan aset bukan runcit sehingga 20% dalam portfolio kami.”

 

Menurut Pengurus Hektar REIT, syarikat itu berada di landasan yang betul dengan strategi pertumbuhannya dan mereka dalam perbincangan aktif dengan beberapa pihak untuk pemerolehan seterusnya. 

 

Kata Hektar REIT, saiz pasaran pendidikan sektor swasta dijangka berkembang pada CAGR 6.5%-7.0% dengan keuntungan modal selanjutnya bergerak ke hadapan berdasarkan penyelidikan pasaran.

 

Sementara itu, fokus utama REIT adalah melaksanakan inisiatif peningkatan aset (AEI) untuk menambah baik aset semasa, terutamanya Subang Parade.- DagangNews.com