KUALA LUMPUR 30 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan penarafan 'jual' terhadap Press Metal Aluminium Holdings Berhad pada harga sasaran (TP) yang lebih rendah sebanyak RM4.03 (daripada RM4.22).
Firma penyelidikan itu berkata, Press Metal merekodkan keuntungan bersih teras separuh pertama 2023 sebanyak RM605.7 juta iaitu penyusutan 27% tahun ke tahun.
Katanya, keputusan itu berada di bawah jangkaan pada 41% daripada harga direalisasikan aluminium rumah yang lebih rendah daripada jangkaan dan konsensus pada 40%.
"Kami mengekalkan saranan 'jual' terhadap Press Metal dengan TP yang lebih rendah sebanyak RM4.03 berdasarkan gandaan P/E (pendapatan harga) sebanyak 20 kali ganda pada unjuran keuntungan FY24 yang disemak semula," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih yang lebih rendah sebanyak RM305.79 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) daripada RM409.17 juta setahun lalu sejajar dengan hasil dan sumbangan yang lebih rendah daripada syarikat bersekutunya.
Pembekal aluminium itu berkata ,pendapatannya menyederhana sebanyak 6.2% kepada RM3.76 bilion berbanding RM4.01 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya (2QFY22), terutamanya disebabkan oleh kelemahan harga logam pada 2QFY23.
HLIB berkata dalam jangka terdekat, kumpulan itu brdepan prospek mencabar daripada harga aluminium kesan daripada kelembapan ekonomi dan kemerosotan keseluruhan dalam pasaran hartanah global, didorong oleh persekitaran kadar faedah tinggi semasa.
"Kami ambil perhatian bahawa Press Metal mungkin menghadapi beberapa suku tahun mencabardisebabkan oleh harga aluminium yang lemah dalam pasaran spot," katanya. - DagangNews.com