HLIB semak turun unjuran pendapatan Sentral REIT akibat keputusan suku kedua yang lemah | DagangNews Skip to main content

HLIB semak turun unjuran pendapatan Sentral REIT akibat keputusan suku kedua yang lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun unjuran pendapatan Sentral REIT selepas untung bersih teras suku kedua 2023 sebanyak RM17.6 juta berada di bawah jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu berada di bawah unjuran disebabkan oleh perbelanjaan mengurus dan kos kewangan yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

"Kami mengurangkan unjuran FY23/FY24/FY25 kami sebanyak 7%/6.6%/6.9% selepas mengambil kira andaian kos utiliti dan kewangan yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB Research mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 75 sen sesaham lebih rendah berbanding 81 sen.

 

Memandangkan mereka sedang bergelut dengan persaingan sengit dalam pasaran pejabat, firma itu percaya kadar sewa untuk ruang pejabat di Lembah Klang akan terus tertekan pada masa hadapan.

 

"Oleh itu, kami melihat tekanan pendapatan untuk REIT pejabat kerana tekanan kos yang meningkat tidak dapat diturunkan kepada penyewa melalui semakan dalam kadar sewa," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berkata 10% daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih (NLA), akan tamat tempoh pada 2023, separuh daripadanya telah diperbaharui dan pengurusan mengunjurkan tiada sebarang isu utama dalam memperbaharui baki kontrak.

 

Selain itu, firma itu mengulangi keyakinannya terhadap pengambilalihan Menara CelcomDigi disebabkan oleh struktur penyewaan tunggal jangka panjang serta hasil sewa yang menarik iaitu 8%. - DagangNews.com