KUALA LUMPUR 23 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan pendapatan sebanyak RM749 juta bagi FY24 didorong pemulihan trafik yang berterusan selain peningkatan trafik antarabangsa.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pengendali lapangan terbang itu terus mendapat manfaat daripada pemulihan perjalanan udara dan menambah baik campuran penumpang antarabangsa (tarif penumpang yang lebih tinggi dan kuasa perbelanjaan) untuk kedua-dua operasi Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Malaysia dan Istanbul.
Katanya, MAHB mencatatkan pendapatan teras lebih kukuh RM64.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) selepas pulih pada 4QFY22.
"Kami mengunjurkan pendapatan RM524 juta pada FY23 dan RM749 juta pada FY24, yang akan menjadi rekod baharu, lebih tinggi daripada paras pra-pandemik 2019.
"Pengurusan menjangka pemulihan kukuh dalam hasil akan diimbangi sebahagiannya oleh jangkaan struktur kos yang lebih tinggi pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, MAHB berkemungkinan mengatasi unjuran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang mencecah 74.6 juta hingga 80.8 juta penumpang untuk 2023 berikutan pemulihan trafik yang kukuh.
Ia berikutan trafik penumpang bagi separuh pertama 2023 (1H23) pulih dengan kukuh kepada 38.8 juta orang untuk Malaysia.
"Mereka masih berada di landasan tepat untuk mencapai unjuran sebanyak 87.6 juta penumpang untuk tahun ini.," katanya.
Selain pembangunan lapangan terbang, MAHB juga akan mempercepatkan pembangunan KLIA-Aeropolis dan Subang-Aeropolis, yang akan meningkatkan lagi nilai mereka dan mempelbagaikan aliran pendapatan kumpulan.
HLIB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM8.50 sesaham.- DagangNews.com