KUALA LUMPUR 17 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan prestasi bercampur-campur untuk sektor perladangan bagi suku kedua 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, ia disebabkan pertumbuhan keluaran tandan buah segar (FFB) bercampur dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah sedikit.
Mereka mengekalkan saranan neutral terhadap sektor itu, dengan IOI Corp Berhad menjadi pilihan utama dalam sektor itu.
HLIB mengekalkan unjuran harga MSM RM4,000 setiap tan untuk tahun ini dan potensi permintaan dijangka lebih kukuh berikutan peningkatan daya saing harga ringgit dan paras stok minyak sawit yang rendah dalam kalangan pengguna utama.
“Melangkah ke 2024, kami mengekalkan unjuran harga MSM kami pada RM3,800 setiap tan, berdasarkan andaian bahawa musim El Nino akan berubah menjadi sederhana, dan berakhir pada hujung 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun suku kedua merupakan suku produktiviti lebih tinggi mengikut musim, dengan peningkatan 6.1% dalam pengeluaran MSM Malaysia dari suku tahun ke suku tahun, ia menyaksikan tiga daripada enam pengeluar di bawah liputannya menunjukkan pengeluaran BTS yang lebih rendah.
Ini termasuk FGV Holdings Berhad, Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).
Sementara itu, HLIB menyatakan bahawa harga minyak sawit yang lebih rendah dan kos pengeluaran yang lebih tinggi akan memberi kesan ke atas pendapatan aktiviti huluan.
“Kebanyakan penanam berkemungkinan mencatatkan penyusutan pendapatan perladangan huluan disebabkan harga minyak sawit yang jauh lebih rendah, dan kos pengeluaran MSM yang lebih tinggi kesan daripada kenaikan gaji minimum, harga baja dan harga diesel yang lebih tinggi," katanya.
Dari segi pengeluaran, HLIB berkata, walaupun kekurangan tenaga kerja di ladang-ladang Malaysia berkurangan, hanya empat daripada enam penanam di bawah liputannya mempunyai pengeluaran BTS yang lebih tinggi.
“FGV dan Sime Darby Plantation Berhad masih mencatatkan kemerosotan tahun ke tahun dalam pengeluaran BTS sebanyak 18.6% (FGV) dan 1.9% (Sime Darby Plantation), berikutan keadaan cuaca yang kurang baik di ladang FGV dan produktiviti di bawah potensi," katanya.- DagangNews.com