The Holstein Milk, cadang terbit sukuk RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

The Holstein Milk, cadang terbit sukuk RM1 bilion

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 April - The Holstein Milk Co Sdn Bhd (THMC) dilaporkan bercadang menerbitkan bon Islamik bernilai RM1 bilion di program Sukuk Wakalah, menurut Malaysian Rating Corp Bhd (MARC). 

 

Agensi penarafan itu dalam kenyataannya memberi penilaian awal AA-IS dengan proses stabil terhadap langkah pengumpulan dana THMC. 

 

THMC merupakan pemain ternakan bersepadu daripada penternakan lembu hingga pemprosesan susu di Malaysia dan Australia, hingga pengedaran produk tenusu.

 

Malah, syarikat pengeluar susu jenama Farm Fresh ini berada di bawah Khazanah Nasional Berhad, seperti di laman web dana pelaburan itu.

 

Menurut MARC, penarafan itu diberikan berdasarkan penguasaan pasaran THMC yang semakin meningkat dalam industri tenusu dan keuntungan, didorong margin keuntungan yang kukuh dan kedudukan leveraj yang sederhana. 

 

"Kekuatan ini diimbangi oleh risiko yang berkaitan dengan pengembangan perniagaan yang pantas dan aset biologi," katanya.

 

Malah, MARC juga menyatakan THMC mempunyai rekod yang baik dalam pengurusan pengangkutan logistik. 

 

"Pengeluaran susu mentah daripada ladang ternakannya di Muadzam Shah diproses terus manakala susu mentah daripada ladang lain dipindahkan dengan trak tangki sejuk ke kilang di Larkin untuk diproses," jelasnya. 

 

THMC mempunyai ladang ternakan seluas 1,510 ekar di Malaysia manakala 2,555 ekar di Victoria, Australia. 

 

Ia menempatkan keseluruhan 5,887 lembu di 4 ladangnya di Malaysia dan 2,618 di Victoria setakat akhir Disember 2020. 

 

Baru-baru ini, syarikat menambah keluasan 500 ekar ladang sedia ada di Muadzam Shah manakala kilang pemprosesan seluas 828 ekar di Taiping yang akan siap secara tidak langsung akan mengukuhkan kedudukan THMC dalam pasaran. 

 

Menurut MARC, THMC memiliki 15.6% penguasaan pasaran di Malaysia bagi produk tenusu dan merupakan pemain kedua terbesar dalam industri tenusu pada Januari 2021. 

 

Dari segi prestasi kewangan, perolehan meningkat kepada RM303.1 juta bagi tahun kewangan 2020 berbanding RM54.9 juta bagi tahun kewangan 2016 didorong oleh penjualan susu segar dan UHT, merangkumi 56% dan 28% perolehan pada tahun lalu.

 

MARC berkata, syarikat memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM400 juta bagi tempoh 4 tahun akan datang yang turut disokong oleh pengumpulan dana ekuiti. 

 

"Ini akan memperkukuhkan lembaran imbangan nisbah hutang kepada ekuiti, yang diunjur menurun di bawah 0.40x, berbanding 0.73x," katanya. - DagangNews.com