Hong Leong Industries sertai industri alat ganti automotif menerusi pelancaran Tekhne | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Industries sertai industri alat ganti automotif menerusi pelancaran Tekhne

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Feb - Hong Leong Industries Berhad (HLI) melancarkan Tekhne Sdn Bhd (TÉKHNĒ) – satu langkah yang signifikan ke dunia alat ganti automotif yang dinamik. 

 

TÉKHNĒ memasuki pasaran dengan penawaran produk-produk Pengilang Peralatan Asal (OEM) serta Pengilang Peralatan Ganti (REM) yang komprehensif bagi jentera beroda dua dan empat, dirumus untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna. Mendukung prinsip ‘Moving the Future’, TÉKHNĒ mencerminkan dedikasi untuk merintis kemajuan dalam industri automotif.

 

 

tekhne

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan HLI, Profesor Dato’ Dr. Jim Khor berkata“Langkah kami ke industri alat ganti automotif bukan sahaja mencerminkan dedikasi kami ke atas inovasi dan perkembangan berterusan, tapi juga komitmen padu kami ke atas para pelanggan menerusi standard kualiti dan kebolehpercayaan yang tertinggi.

 

"Dengan TÉKHNĒ, kita mengorak sebuah haluan yang kaya dengan aneka peluang, dengan matlamat untuk merintis kemajuan dalam arena teknologi dan reka cipta, sambil menjamin prestasi dan keselamatan kenderaan yang optimum demi kejayaan kita bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pasaran bagi alatan OEM dan REM untuk kegunaan jentera beroda dua dan empat di Malaysia sedang menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan dan diunjur mampu berkembang lebih jauh, didorong oleh faktor-faktor seperti peningkatan jualan kenderaan, permintaan ke atas servis pasaran sekunder (aftermarket), serta peningkatan bilangan perusahaan dalam pasaran produk automotif.

 

Nilai tambah dalam pasaran produk automotif di Malaysia dijangka mampu mencecah AS$8.32 bilion pada tahun 2024, dengan jangkaan kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) berjumlah 5.71% dari 2024 hingga 2028.

 

 

tekhne

 

 

Di samping itu, jualan kereta terpakai di Malaysia juga sedang meningkat secara konsisten, menyumbang kepada pertumbuhan industri servis pasaran sekunder automotif, yang mencerminkan permintaan yang kian meningkat ke atas alat-alat ganti.

 

Pengurus Besar TÉKHNĒ, Chong Chee Kong berkata, “Di TÉKHNĒ, komitmen kami adalah untuk membekalkan produk-produk premium yang dirumus untuk memenuhi keperluan para pelanggan kita di Malaysia.

 

"Menerusi kerjasama dengan rakan-rakan yang penting, di peringkat tempatan dan juga antarabangsa, kami memastikan produk TÉKHNĒ memenuhi standard kecemerlangan dan kepuasan pelanggan yang tertinggi.

 

"Untuk masa hadapan, kami bersedia untuk melebarkan sayap ke rantau ASEAN dan seterusnya menembusi pasaran global,” ujar beliau.

 

 

tekhne

 

 

Komitmen TÉKHNĒ terhadap inovasi turut dibuktikan melalui rancangannya untuk menceburi perniagaan produk-produk yang berkaitan dengan kenderaan elektrik, sejajar dengan peralihan industri ini ke arah rumusan pengangkutan lestari.

 

Untuk menerapkan inovasi, TÉKHNĒ juga bersedia untuk menubuhkan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) miliknya sendiri, menyasar untuk merintis kemajuan dalam arena teknologi dan reka cipta.- DagangNews.com