IJM diunjur menjadi antara penerima manfaat projek MRT3 selain 6 projek tebatan banjir, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

IJM diunjur menjadi antara penerima manfaat projek MRT3 selain 6 projek tebatan banjir, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - IJM Corporation Berhad dijangka menjadi menerima manfaat daripada pemulihan ketara sektor pembinaan pada separuh kedua tahun ini disokong oleh pelancaran projek MRT3 bernilai RM45 bilion serta enam projek tebatan banjir bernilai RM13 bilion.

 

Kenanga Research berkata, selain itu mereka juga bakal menerima manfaat daripada projek pembangunan di bawah Bajet 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran pembinaan sektor swasta rancak disokong oleh pelaburan besar-besaran dalam segmen semikonduktor dan pusat data.

 

"Kami difahamkan bahawa IJM juga sedang mengintai pakej kerja daripada ECRL dan pelbagai projek di Malaysia Timur dan Indonesia.

 

"Sehingga Mac 2024, buku pesanan tertunggaknya berjumlah RM4.9 bilion, dengan RM650 juta diraih pada suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24).

 

"Bagi segmen hartanahnya, ia mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM2.5 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suku pertama kumpulan itu melonjak tiga kali ganda dengan penambahbaikan dilihat di semua bahagian, khususnya bahagian hartanah, industri dan infrastruktur.

 

Kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM100.6 juta bagi suku pertama berbanding RM33.4 juta dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Ini adalah hasil 14% lebih tinggi sebanyak RM1.2 bilion bagi suku tersebut, berbanding suku pertama FY23.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana prospek sektor pembinaan yang lebih baik dengan pelancaran projek infrastruktur awam yang tidak lama lagi, keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan pembinaan tertunggak sebanyak RM4.9 bilion dan jualan hartanah yang belum dibilkan sebanyak RM2.5 bilion

 

Selain itu, kedudukan Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan terbesar di Pantai Timur yang menawan pertumbuhan aktiviti eksport dan import.

 

Bagaimanapun, firma itu tetap berhati-hati terhadap penstrukturan semula Besraya dan lebuh raya bertol yang merugikan iaitu Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Kajang−Seremban berikutan jumlah trafik yang rendah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.75  sesaham," katanya.- DagangNews.com