Impak PKP 2.0, pasaran jatuh di bawah paras 1,600 mata | DagangNews Skip to main content

Impak PKP 2.0, pasaran jatuh di bawah paras 1,600 mata

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Selepas 2 hari pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan hampir di seluruh negara, kebimbangan mula mempengaruhi pasaran apabila pelabur mula menilai impak daripada langkah tersebut. 

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI diniagakan dalam jajaran yang lemah sepanjang hari dan jatuh di bawah paras 1,600 mata. 

 

Ketika ditutup, KLCI jatuh 6.74 mata kepada 1,594.8 mata berbanding pasaran serantau yang mengukuh. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 812 berbanding 347 manakala 413 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 6.72 bilion bernilai RM4.29 bilion berbanding semalam, sebanyak 5.86 bilion saham diniagakan bernilai RM4.38 bilion. 

 

Bagaimanapun, pasaran kewangan mengukuh petang ini apabila ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada RM4.0280/0320. 

 

Semalam, mata wang ini ditutup pada RM4.0430/0470, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) selain didorong kenaikan harga minyak dan kelemahan dolar AS.

 

Dalam dagangan hari ini, ringgit lebih mengukuh berbanding dolar AS selepas ia merosot berbanding mata wang utama yang lain apabila meningkatnya keyakinan terhadap pentadbiran baharu AS dipimpin Joe Biden akan melaksanakan pakej rangsangan yang besar sekali gus meningkatkan permintaan terhadap mata wang yang selamat. 

 

Pasaran saham Asia pula menurut Reuters melonjak pada hari ini, menjejaki pasaran AS selepas para pelabur berharap lebih banyak rangsangan ekonomi diberikan Biden bagi mengimbangan kerosakan akibat pandemik COVID-19. 

 

Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Yusof berkata, PKP 2.0 ketika ini tidak memberi impak sebesar PKP 1.0 yang dilaksanakan tahun lepas memandangkan kegiatan ekonomi masih boleh diteruskan. 

 

"Namun begitu, impaknya mungkin lebih daripada apa yang kami jangkakan semasa pengumuman PKP di 6 negeri sebelum ini. 

 

"Kami masih lagi mengkaji keadaan semasa dan mungkin akan menyemak semula unjuran KDNK kami," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Beliau berkata, MIDF Research juga mengekalkan jangkaan untuk pasaran saham dan kadar ringgit bagi 2021 buat masa ini. 

 

"Unjuran ini mengambil kira keadaan semasa tidak sama dengan keadaan kita hadapi tahun lepas. 

 

"Di sebalik kegiatan ekonomi yang boleh berterusan, Malaysia juga akan menerima vaksin COVID-19. 

 

"Kami berpendapat bahawa secara amnya, ekonomi akan pulih pada tahun ini dan dengan ini pasaran saham dijangka akan terus rancak," jelas beliau. 

 

Mengenai Permai, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM15 bilion adalah mencukupi tetapi tidak menolak kemungkinan terdapat penambahan kepada bantuan daripada kerajaan.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tangku Aziz kelmarin berkata, kerajaan menjangkakan pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan negara kerugian RM600 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari pada Mac hingga Mei tahun lepas.

 

Sementara itu, dalam nota kajian, UOB Bank berkata, terdapat kemungkinan PKP 2.0 akan dilanjutkan berbanding 2 minggu buat masa ini. 

 

"Dengan mengambil kira faktor ini, kami menjangkakan OPR akan dikurangkan 25 mata asas kepada 1.5% pada suku pertama 2021," katanya. 

 

BNM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 4 Mac ini. - DagangNews.com