Prestasi berganda ringgit, pasaran saham beri isyarat Malaysia mampu kembali jadi 'harimau Asia' - Dr Nazri Khan | DagangNews Skip to main content

Prestasi berganda ringgit, pasaran saham beri isyarat Malaysia mampu kembali jadi 'harimau Asia' - Dr Nazri Khan

Ketua Pegawai Pelaburan Berjaya Mutual, Datuk Dr Nazri Khan. Gambar NAIM AZIZ/DgaangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Prestasi berganda - Bursa Malaysia dan ringgit ketika ini memberi petunjuk kemampuan Malaysia untuk kembali mencapai status harimau ekonomi di peringkat serantau dan Asia, kata pengulas pasaran saham terkenal, Datuk Dr Nazri Khan.

 

Beliau yang juga Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Berjaya Mutual Sdn Bhd berkata, malah Bursa Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk mencapai real bull atau dirujuk juga sebagai bull jangka panjang.

 

 

Katanya, ini memandangkan pemacu kepada Bursa Malaysia adalah saham-saham teknologi dan hartanah di samping pembinaan yang mana kesemua ini bersifat jangka panjang selain memberi petunjuk utama pasaran.

 

"Alhamdulillah, Bursa Malaysia telah catat kebangkitan yang kita boleh katakan luar biasa yang lazimnya berlaku sekali dalam satu dekad.  

 

"Saya kagum dengan prestasi semasa Bursa Malaysia, harap ekonomi Malaysia terus mengujakan dan diharap mampu dapat jadi harimau ekonomi lagi, paling tidak dalam Bursa Malaysia," katanya kepada DagangNews di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

 

Jelas Dr Nazri yang juga dikenali dengan akronim DDNK, Bull jangka pendek pula boleh dilihat apabila faktor yang memacu pasaran saham adalah daripada sektor utiliti dan pengguna. 

 

"Ini kita panggil hot money. Hot money bila dia masuk, dia keluar pun cepat. Ini berlaku semasa tahun-tahun sekitar 1994 dan 1997.

 

"Yang sekarang banyak pergi ke Bull jangka panjang kerana libatkan projek seperti infra," ujar pengurs pelaburan bertauliah itu.

 

Menurut Dr Nazri, paling menarik sekali ialah ekonomi Malaysia ketika ini meraih faktor berganda iaitu prestasi baik Bursa Malaysia yang pulangannya hampir menyamai Nasdaq AS disertai pengukuhan nilai ringgit.

 

Ringgit katanya, daripada paras sekitar RM4.80 berbanding dolar telah mengukuh kepada RM4.30 dan pencapaian ini dicapai dalam masa beberapa bulan sahaja.

 

Katanya, ekonomi Malaysia sendiri yang mencatat pertumbuhan 5.9% pada suku kedua tahun ini juga adalah terbaik pernah disaksikan ejak era pandemik.

 

"Bursa Malaysia menyaksikan pelaburan asing yang semakin banyak dan ia bukan hanya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tetapi juga China dan India. Kita ada asas pelabur asing yang lebih luas, dan ini baik.

 

"Kredit perlu diberikan kepada kerajaan dan pelabur asing. Pencapaian ini pastinya akan beri keyakinan kepada ekonomi," jelas Dr Nazri yang menjadi pedagang Malaysia pertama mengungguli carta Kejohanan Dagangan Piala Dunia (Futures Day Trading Championship) bagi suku pertama dan kedua 2024.

 

ddnk
CIO Berjaya Mutual, Dr Nazri Khan atau DDNK juga merupakan pengulas pasaran saham yang terkenal dengan tagline 'Tak Handsome Tak Apa, Janji Kaya'. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

 

Pada masa sama, Dr Nazri Khan mengakui rakyat biasa sebahagiannya masih belum merasai impak daripada prestasi baik ringgit dan Bursa Malaysia tetapi beliau yakin masanya akan tiba.

 

"Sudah tentu yang bawah akan cakap gaji tak naik lagi, gaji minimum masih tak berubah, pertumbuhan pendapatan masih tak cukup, guna tenaga kerja statik.. tapi berikan sediki masa lagi," ujarnya.

 

Mengenai dasar kerajaan, Dr Nazri berkata, pujian harus diberikan kepada kepimpinan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedia melakukan pembaharuan walaupun perlu mengambil keputusan kurang popular dari segi politik tetapi perlu dari segi ekonomi.

 

Katanya ini seperti pembaharuan fiskal dan penyasaran semula subsidi di samping yang akan datang pengenalan cukai barangan bernilai tinggi (HGVT).

 

"HGVT pastinya libatkan orang kaya tetapi itu adalah langkah yang perlu dilakukan. Begitu juga menarik pelaburan bukan hanya di Kuala Lumpur atau Johor tetapi ke seluruh wilayah yang akan merapatkan jurang termasuk jurang digital.

 

"Rangka Ekonomi Madani melebarkan jaring keselamatan sosial yang dirujuk sebagai pengagihan kekayaan negara dengan lebih adil. Ini bertepatan sasaran kehidupan kerja berkualiti yang menjadi sebahagian daripada Kerangka Ekonomi Madani.

 

"Ke hadapan, pastinya kita nak lihat lebih lagi dalam pengukuhan ekonomi," katanya. - DagangNews.com