KUALA LUMPUR 22 Nov - RHB Investment mengekalkan ramalan pendapatannya untuk UEM Sunrise Bhd dengan jangkaan kumpulan itu akan melupuskan beberapa tanah bukan teras dan aset runcit pada 4QFY24.
Bagaimanapun, penjualan tanah seluas 11.7 hektar di East Ledang dengan harga RM144.9 juta, yang dijangka menghasilkan keuntungan RM20 juta, mungkin menghadapi sedikit kelewatan dan dijangka siap hanya pada lewat 2025.
"Jualan hartanah UEM Sunrise suku ketiga 2024 telah memacu jualan belum dibilkan sehingga RM2.89 bilion, berbanding RM2.72 bilion pada suku kedua tahun ini.
"Kami tidak membuat perubahan kepada harga sasaran (TP) RM1.60, yang berdasarkan diskaun 25% daripada nilai pasaran aset (RNAV)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan melonjak 176% kepada RM22.99 juta pada 3QFY24 berbanding RM8.34 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, di tengah-tengah sumbangan margin yang lebih tinggi daripada penjualan tanah.
Hasil meningkat kepada RM369.33 juta daripada RM312.35 juta sebelumnya, disumbangkan oleh penjualan tanah bukan strategik di Iskandar Puteri, Johor, tetapi diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada pembangunan hartanah.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi 9MFY24, untung bersih meningkat kepada RM50.01 juta daripada RM48.39 juta pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil susut kepada RM799.51 juta daripada RM917.09 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada pembangunan hartanah.
Hasil daripada pembangunan hartanah jatuh kepada RM524 juta daripada RM700 juta, mencerminkan peringkat lanjutan projek seperti Residensi AVA di Teluk Kiara, Residensi Astrea di Mont Kiara dan Serene Heights di Semenyih.- DagangNews.com