Prospek Dayang kekal positif walaupun hasil 4QFY24 dijangka lemah akibat musim tengkujuh - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Prospek Dayang kekal positif walaupun hasil 4QFY24 dijangka lemah akibat musim tengkujuh - Kenanga Research

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pendapatan 9MFY24 Dayang Enterprise Holdings Bhd sejajar dengan jangkaan dan konsensus Kenanga Research, walaupun hasil 4QFY24 dijangka lebih lemah akibat musim tengkujuh. 

 

Walaupun firma penyelidikan itu menjangkakan keputusan kewangan 4QFY24 Dayang yang lebih lemah, ia kekal optimis terhadap penyedia perkhidmatan gas dan minyak itu.

 

"Kami meramalkan Dayang mengekalkan pesanan kerja penyelenggaraan bahagian atasnya pada FY24. 

 

"Ini disokong oleh lanjutan tahunan kontrak penyelenggaraan serta sambungan & pentauliahan (HUC) sebelumnya daripada Petronas," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Selain itu, firma tersebut menjangkakan bahagian marinnya akan kekal pada momentum positif dan menjana pendapatan lebih tinggi pada FY25.

 

Katanya, ini berdasarkan permintaan kapal sokongan luar persisir (OSV) dijangka bertambah baik manakala prospek bekalan kapal kekal mencabar. 

 

"Kami menyukai Dayang kerana peningkatan berterusan aktiviti penyelenggaraan huluan serta jangkaan pengembangan margin projek. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'outperform' ke atas Dayang dengan harga sasaran (TP) RM3.80 sesaham," katanya.- DagangNews.com