Impak PKP 2.0, perolehan Q1 Capitaland jatuh 24.0% | DagangNews Skip to main content

Impak PKP 2.0, perolehan Q1 Capitaland jatuh 24.0%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 April -  Capitaland Malaysia Mall Trust (CMMT) menyaksikan perolehan kasar kumpulan bagi suku pertama 2021 (1Q21) jatuh 24.0% atau RM17.9 juta kepada RM56.7 juta, berbanding 1Q20.

 

Ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang dilaksanakan semula semasa musim perayaan Tahun Baru Cina. 

 

Situasi itu sekali gus memberi impak kepada trafik pengunjung di pusat beli-belahnya, selain pemulihan perniagaan penyewa terjejas, menurut makluman CMMT di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ujar CMMT, bagi mengurangkan beban penyewa yang terbeban akibat PKP 2.0, rebat sewa bersasar turut diberikan pada 1Q21. 

 

“PKP 2.0 telah menyebabkan perolehan kasar, tapak letak kereta dan pendapatan pemasaran komunikasi yang lebih rendah, sedangkan PKP pertama telah dilaksanakan pada separuh kedua 1Q20 dan suku tahun selepasnya. 

 

“Pendapatan sewa kasar juga lebih rendah bagi perbandingan tahun ke tahun kerana usaha menyeimbangkan semula penghunian dan pembalikan sewa serta kesan daripada krisis pandemik dan kawalan pergerakan bermula 2Q20, ujar CMMT

 

Ini bagaimanapun dikurangkan oleh hasil daripada Gurney Food Hall.

 

Perbelanjaan operasi hartanah bagi 1Q21 sebanyak RM31.7 juta, penurunan 9.8% berbanding 1Q20 terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan utiliti lebih rendah susulan penggunaan elektrik sedikit dan 10% diskaun diumumkan kerajaan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021. 

 

Turut disumbangkan oleh perbelanjaan pemasaran lebih rendah susulan usaha pengurangan kos ketika pandemik dan kos bayaran balik staf lebih rendah, jelas CMMT.

 

Secara keseluruhannya, pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit kumpulan bagi tempoh tersebut menyusut 62.4% kepada RM7.6 juta.

 

Disebabkan oleh cabaran operasi dan tekanan perolehan yang dijangka berterusan dalam jangka pendek, kumpulan itu meramalkan tahun 2021 terus ‘suram’ terutamanya bagi separuh pertama 2021 (1H21). 

 

“Tanpa mengambil kira situasi yang tidak terjangka dan tertakluk kepada kejayaan vaksinasi di seluruh negara, kami menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam pendapatan kumpulan bagi 2H21,” tambah CMMT. - DagangNews.com