Indeks eksport, import Ogos 2020 jatuh berbanding tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Indeks eksport, import Ogos 2020 jatuh berbanding tahun lalu

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Malaysia menyaksikan indeks nilai seunit eksport dan import masing-masing menyusut 4.9% dan 3.6% pada bulan Ogos 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Ini diikuti penurunan indeks volum import sebanyak 3%, tetapi indeks volum eksport naik 2.1%.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berasaskan bulan ke bulan, indeks nilai seunit eksport susut 0.2% kepada 109.7 mata pada Ogos 2020 yang disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-2.7%) diikuti alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.6%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.6%). 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Sementara itu, indeks volum eksport turut jatuh 14.4% kepada 135.6 mata yang disebabkan oleh penurunan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-20.1%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-18.4%) dan minyak galian (-13.4%). 

“Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport mencatatkan penurunan 12.5% kepada 134.5 mata,” katanya dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Negeri Malaysia, Ogos 2020.

Sementara itu, indeks nilai seunit import merekodkan kenaikan kecil 0.1% kepada 113.4 mata pada Ogos 2020 berbanding bulan sebelum, yang disebabkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+1.3%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.3%). 

Jelas Mohd. Uzir, indeks volum import sebaliknya menyusut 2.3% kepada 132.2 mata. 

“Penyusutan ini disebabkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-11.6%), minyak galian (-9.4%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-4.4%). Bagi data pelarasan musim, indeks volum import pada Ogos 2020 menurun 2.5% kepada 127.5 mata,” tambah beliau.

Dalam pada itu, terma perdagangan Malaysia pula mencatatkan kejatuhan kecil 0.1% kepada 96.7 mata berbanding Julai 2020. 

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut susut 1.4% daripada 98.1 mata. - DagangNews.com