Indeks Harga Pengeluar Malaysia turun - 2.3% pada Julai 2023, menurut DOSM | DagangNews Skip to main content

 Indeks Harga Pengeluar Malaysia turun - 2.3% pada Julai 2023, menurut DOSM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 28 Ogos – Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, turun negatif 2.3% pada Julai 2023 berbanding negatif 4.8% pada Jun 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan hari ini dalam laporan bulanan terbaharu Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan bagi Julai 2023.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengulas, “Sektor Perlombongan turun sebanyak negatif 10.8% (Jun 2023: -16.6%), disebabkan oleh penguncupan indeks Pengekstrakan petroleum mentah (-14.8%).

 

Sektor Pembuatan menurun sebanyak negatif 2.1%, disebabkan oleh indeks Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-11.7%) dan Pembuatan produk makanan (-8.9%).


 

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin
                                        Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 


Sementara itu, sektor Pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan pertama pada 2023, meningkat 3.6% selepas penurunan dua digit negatif 20.4% pada Jun 2023. Peningkatan ini disebabkan oleh indeks Pengeluaran ternakan (6.8%) dan Penanaman tanaman kekal (1.2%).

 

Bagi sektor utiliti, indeks Bekalan air dan Bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 3.1% dan 0.1%.”

 

Beliau menjelaskan lagi, "Pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat perlahan 0.2% pada Julai 2023 (Jun 2023: -0.3%).

 

Sektor Perlombongan meningkat 3.1% disebabkan oleh indeks Pengekstrakan petroleum mentah (4.2%). Sektor Pertanian, perhutanan & perikanan pula meningkat 1.0% dengan indeks Penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2%.

 

Walau bagaimanapun, indeks bagi sektor Pembuatan menurun sebanyak negatif 0.2% pada Julai 2023. Bagi sektor utiliti, indeks Bekalan elektrik & gas dan Bekalan air masing-masing turun sebanyak negatif 0.1% dan negatif 0.3%.”

 

Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Dr. Mohd Uzir berkata, “Indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus menurun sebanyak negatif 6.3% pada Julai 2023 (Jun 2023: -18.7%), dengan indeks Bahan bukan makanan mencatatkan negatif 8.7%.

 

Indeks Bahan perantaraan, bekalan & komponen juga mencatatkan negatif 3.3% disebabkan oleh Bahan api yang diproses & pelincir (-7.1%) dan Bahan & komponen untuk pembuatan (-6.2%).


 

parafrasa

 


Sementara itu, indeks Barang siap meningkat 3.4%, disebabkan oleh peningkatan dalam Kelengkapan modal (4.7%) dan Barangan pengguna siap (1.7%).”

 

Pada asas bulanan, kedua-dua indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan Barang siap masing-masing meningkat sebanyak 1.9% dan 0.1%. Sementara itu, Bahan perantaraan, bekalan & komponen turun negatif 0.4% pada Julai 2023.

 

Menurutnya, inflasi di peringkat pengeluar di negara terpilih mula menunjukkan perubahan pada bulan ini. IHPR Amerika Syarikat meningkat 0.8% berbanding 0.2% pada Jun 2023.

 

Harga pengeluar China terus menurun, turun negatif 4.4% berbanding penurunan 5.4% pada bulan sebelumnya. Ini
menandakan trend yang berterusan dalam pengurangan kos pengeluaran. Inflasi pengeluar India juga terus menguncup 1.4% (Jun 2023: -4.1%) disebabkan oleh harga minyak mineral, logam asas dan produk kimia yang lebih rendah.

 

Sementara itu, IHPR Jepun meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 3.6% berbanding 4.3% pada bulan sebelumnya disebabkan kos utiliti tenaga yang lebih rendah.

 

Harga global minyak mentah Brent berlegar pada purata AS$80/tong pada bulan ini selepas mencapai purata AS$75/tong pada Jun 2023, menyumbang kepada kestabilan dalam sektor perlombongan.

 

Bekalan minyak mentah diunjurkan terus terhad apabila Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ahli-ahlinya telah melaksanakan pengurangan pengeluaran.

 

Berdasarkan Taipei Times, faktor lain seperti penurunan dalam eksport minyak mentah Rusia, yang lebih rendah daripada jangkaan stok minyak mentah Amerika Syarikat dan KDNK China yang lemah pada suku tahun kedua menyumbang kepada kenaikan harga minyak mentah bulan ini. - DagangNews.com